Cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 pada peringkat Kajian Literatur Sistematik (SLR)

Cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 pada peringkat Kajian Literatur Sistematik (SLR)

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 kini berada pada peringkat Kajian Literatur Sistematik (SLR) bagi mendapatkan maklum balas lebih mendalam mengenai perkara yang perlu dipinda.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ramli Mohd Nor berkata, cadangan pindaan akta itu tidak membabitkan isu pemilikan atau teknikal tanah.

Katanya, pindaan akta ini berkaitan pentadbiran bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan

“Pindaan ini tidak melibatkan isu tanah kerana perkara berkaitan teknikal tanah adalah di bawah perlembagaan dan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Ia lebih kepada pindaan berkaitan pentadbiran bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan.

“Cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan masyarakat Orang Asli turut dipersetujui untuk dikaji terlebih dahulu dan proses berkenaan kini sedang berjalan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Masih Ada Yang Sayang VAT 69 dan Senoi Praaq di Dewan Bonda Yah, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini.

Tambah beliau lagi Pindaan Akta Orang Asli 1954 kini berada pada peringkat mendapatkan maklum balas yang lebih mendalam sebelum langkah seterusnya diambil.

“Cadangan pindaan Perlembagaan sudah dipersetujui untuk dilaksanakan kajian terlebih dahulu dan perkara itu sedang berjalan,” katanya.

Sebelum ini, Ramli berkata, undang-undang berkaitan Orang Asli perlu dipinda selepas hampir tujuh dekad supaya lebih relevan dengan keperluan semasa masyarakat golongan itu.

Katanya, akta berkenaan kali terakhir dipinda pada tahun 1974, sedangkan undang-undang asalnya digubal ketika zaman darurat dengan tujuan utama melindungi Orang Asli daripada ancaman komunis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top