TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran pada Ahad berkata mereka tidak akan membuka semula Selat Hormuz, yang penting kepada ekonomi dunia, sehingga Amerika Syarikat (AS) memenuhi syarat yang ditetapkan Teheran sehari sebelumnya, termasuk tuntutan pampasan atas kerosakan akibat perang.
Iran telah mengenakan sekatan berkesan ke atas selat itu sejak AS dan Israel melancarkan serangan pada akhir Februari, selain mahu mengenakan bayaran tol bagi pelayaran melaluinya serta menyerang kapal yang didakwa cuba mengelak daripada menggunakan laluan ditetapkan Teheran.
Serangan berterusan di laluan perairan itu, yang sebelum perang bebas digunakan untuk pelayaran, menyebabkan gencatan senjata pada April runtuh.
Para pengantara menggesa kedua-dua pihak kembali kepada terma memorandum yang dipersetujui pada Jun, yang menetapkan laluan ke arah rundingan damai.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata, perbincangan dengan Oman mengenai pelayaran dan pengurusan selat itu menghampiri peringkat akhir.
Namun, beliau menambah bahawa pembukaan semula Selat Hormuz tertakluk kepada syarat-syarat lain dan pampasan berhubung pelanggaran perjanjian pada Jun.
Pada Ahad, beliau menafikan bahawa Iran sedang berunding dengan AS, sebaliknya berkata, kedua-dua negara hanya bertukar-tukar mesej melalui pihak perantara.
Ketua keselamatan Iran, Mohammad Bagher Zolghadr, pada Sabtu mengemukakan senarai tuntutan bagi pembukaan semula selat itu termasuk penamatan perang dan pencerobohan terhadap Iran termasuk sekutunya di Lubnan, Palestin, Yemen serta Iraq.
Beliau turut menuntut supaya sekatan balas AS terhadap pelabuhan Iran ditarik balik, sekatan ekonomi ditamatkan, aset Iran yang dibekukan dibebaskan dan pampasan diberikan bagi kerosakan akibat perang, menurut kenyataan yang dilaporkan agensi berita Tasnim.
Kor Pengawal Revolusi Iran pada Ahad berkata, strategi mereka adalah untuk mengekalkan penutupan selat itu sehingga musuh menerima semua syaratnya.- AFP




