ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan taringnya apabila berjaya mengekang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea 3-3 pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Pada aksi itu, pengendali The Blues, Xabi Alonso menurunkan skuad kedua pasukan dan hanya menurunkan beberapa pemain terkenal seperti Nicolas Jackson, Liam Delap dan Estavao.
Walaupun tampil dengan barisan pemain muda, Chelsea mempamerkan aksi memberangsangkan dan hampir menjaringkan gol seawal minit keempat namun percubaan Delap dari jarak dinafikan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Estavao dan Jackson masing-masing berpeluang melancarkan serangan namun rembatan yang dilepaskan tersasar dari pintu gol JDT.
Ketika Chelsea rancak mengatur gerakan, skuad Harimau Selatan melancarkan serangan balas pantas menerusi larian pantas Marcos Guilherme dari sayap kanan sebelum melorongkan bola kepada Arif Aiman Hanafi yang mudah menewaskan penjaga gol ketiga Chelsea, Teddy Samuel Sharman-Lowe pada minit ke-12.
Jaringan tersebut memberi keyakinan buat skuad kendalian Xisco Munoz untuk menyaingi kekuatan kelab gergasi EPL itu.
Oscar Arribas hampir menambah jaringan buat JDT pada minit ke-32 namun rembatan yang dilakukan dalam kotak penalti sedikit tersasar.
Chelsea kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain import baharu JDT, Kevin Medina menjatuhkan Delap dalam kotak penalti.
Delap tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-42.
Delap hampir menambah jaringan pasa penghujung babak pertama namun pemain kelahiran England itu gagal menemuo sentuhan penyudah dalam situasi satu lawan satu dengan Ahmad Syihan.
Bersambung babak kedua, penyerang import baharu JDT, Shahab Zahedi hampir meletakkan JDT kembali di hadapan namun gagal menewaskan penjaga gol keempat lawan, Gabriel Slonina pada minit ke-48.
Chelsea sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti kedua perlawanan setelah Arribas melakukan kekasaran terhadap penyerang, Jamie Gittens di dalam kotak penalti.
Delap yang sekali lagi diberikan tanggungjawab mengambil tugasan tersebut tidak mensia-siakan peluang meletakkan setelah memperdayakan Ahmad Syihan bagi menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-62.
Tiga minit berselang, JDT kembali menyamakan kedudukan apabila sepakan bebas yang diambil Arribas terbias benteng Chelsea sebelum melayang masuk menerjah gawang lawan pada minit ke-65.
Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema setelah pemain gantian, Bergson Da Silva yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-86.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama setelah pemenang Kelab Piala Dunia itu menyamakan kedudukan apabila Antonio Glauder menjaringkan gol sendiri ketika menahan hantaran silang Mykhailo Mudryk pada minit ke-89.-UTUSAN
