Wanita warga emas melecur akibat disimbah petrol, dibakar

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga emas melecur 50 peratus selepas disimbah cecair disyaki petrol sebelum dibakar seorang lelaki tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 kira-kira jam 8 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, mangsa berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus di seluruh badan.

“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan kini menerima rawatan. Keadaan mangsa dilaporkan kritikal namun stabil.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menerima apa-apa ancaman sebelum ini.

“Bagaimanapun, motif kejadian masih disiasat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur turut hadir di lokasi kejadian dan mengambil beberapa sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta barangan berkaitan bagi membantu siasatan.

Susulan insiden itu, Jasni berkata, pihaknya melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menangkap suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amri FirdausJusoh di talian 010-9198209 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis Kuala Lumpur akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga ketenteraman masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top