Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan menjadi amanah buat dirinya dan kementeriannya untuk bercakap benar serta memastikan kebenaran disampaikan kepada rakyat, termasuk berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan dibentangkan.
Bercakap benar adalah satu amanah
Memetik laporan daripada Bernama, beliau yang berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi Zon Sabah dan Labuan, di Kota Kinabalu menyatakan bahawa dirinya tidak sanggup untuk tak mampu menjawab di hadapan Sang Pencipta kelak
“Saya tidak mahu di hadapan Sang Pencipta saya ditanya dan saya tidak dapat menjawab.
“Jadi menjadi amanah saya dan kementerian kita untuk bercakap benar, untuk berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan kebenaran itu dan sekiranya datang kepada kita sebarang ketidakbenaran ataupun kepalsuan ataupun fitnah ataupun perkara yang tidak sahih, maka wajib kita sama-sama tentukan dan jelaskan,” katanya.

Laporan RCI setebal 211 halaman yang merangkumi operasi TH dari 2014 hingga 2020 sebelum ini mendedahkan kelemahan tadbir urus dan dakwaan campur tangan politik dalam urusan agihan keuntungan serta operasi haji.
Antara dapatan utama ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, namun sebaliknya melaporkan keuntungan RM3.4 bilion.
Laporan itu turut mencadangkan audit forensik terhadap beberapa pelaburan berisiko yang mengakibatkan kerugian besar kepada dana pendeposit.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan berhubung dapatan RCI TH dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu menahan reman lima individu bagi membantu siasatan berhubung pelbagai dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan laporan RCI berkenaan.
Fahmi dalam pada itu berkata agensi di bawah Kementerian Komunikasi perlu memastikan maklumat yang benar, tepat dan mudah difahami disampaikan kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan serta salah tafsir.
Beliau menyatakan Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan antara tonggak penting dalam menyampaikan maklumat kerajaan kepada masyarakat.
Menurutnya, pendekatan penyampaian maklumat yang berkesan amat penting kerana sesuatu dasar atau program kerajaan yang mempunyai niat baik boleh disalah tafsir sekiranya tidak disampaikan secara tepat dan menyeluruh.
Sumber: Bernama

