Zahid mohon rakyat doakan kesembuhan PMX, kembali berkhidmat buat negara

Zahid mohon rakyat doakan kesembuhan PMX, kembali berkhidmat buat negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat Kabinet akan datang susulan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani pemeriksaan serta prosedur perubatan.

Zahid mohon rakyat doakan kesembuhan PMX, kembali berkhidmat buat negara

Memetik laporan Utusan, Ahmad Zahid berkata, beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri pada Selasa lalu mengenai prosedur pembedahan kecil yang akan dijalani Anwar.

Menurutnya, Anwar turut meminta beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet sepanjang ketiadaan Perdana Menteri.

“Beliau telah memberitahu saya bahawa sepanjang ketiadaan beliau itu, beliau meminta saya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet,” katanya di Kampung Orang Asli Air Banun, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan awal hari ini bahawa Anwar dijangka berada di bawah pemantauan pakar perubatan selama dua hari.

Mengulas keadaan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, Anwar memerlukan tempoh rehat yang mencukupi bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.

Bagaimanapun, beliau yakin tempoh tersebut tidak akan mengambil masa lebih daripada seminggu.

“Kita sama-sama doakan akan kesembuhan dan keselesaan kepada beliau untuk kembali bertugas kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional mahu aspek perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli diberikan perhatian yang sama seperti kelompok masyarakat lain.

Beliau berkata usaha memperkukuh kemudahan serta perkhidmatan kesihatan di kawasan penempatan Orang Asli perlu diteruskan, termasuk memastikan klinik dan pusat kesihatan berhampiran komuniti berkenaan sentiasa ditambah baik.

Pada majlis sama, Dzulkefly berkata dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 mendedahkan keadaan kesihatan masyarakat berkenaan yang masih memerlukan perhatian serius.

Katanya, hasil tinjauan mendapati dua daripada lima kanak-kanak Orang Asli mengalami masalah bantut.

Artikel lain: Zahid balas pantun PM Anwar, seloroh hubungan masih baik -“Cuma belum cium…”

Beliau turut memaklumkan bahawa dalam aspek penyakit kronik, antara tujuh hingga lapan daripada 10 pesakit Orang Asli tidak menyedari mereka menghidap penyakit seperti kencing manis dan mempunyai masalah kolesterol.

Selain itu, satu daripada lima keluarga Orang Asli masih berdepan isu ketidakjaminan makanan, sekali gus menunjukkan terdapat cabaran besar yang perlu ditangani secara menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti berkenaan.

Sumber: Utusan (Fadzil Zainol)

Scroll to Top