ALOR SETAR: Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior berusia 15 tahun sehingga mengalami lebam pada muka dan beberapa bahagian badan.
Bapa mangsa, Shamsul Azrin Man, 45, berkata, kejadian itu hanya diketahui selepas dia mengambil anak tunggalnya pulang bercuti dari sebuah maahad tahfiz di sini pada 30 Julai lalu.
Katanya, anaknya tinggal di asrama maahad tahfiz itu sejak awal tahun ini dan akan pulang bercuti selama seminggu, pada setiap dua bulan.
“Saya dan isteri nampak lebam pada bahagian kiri muka dan pada awalnya anak mengaku terjatuh tetapi selepas ditanya berkali-kali, dia mengaku ditumbuk pelajar senior sehari sebelum itu ketika mengelap meja makan di kantin.
“Anak juga beritahu dia ditendang di bahagian belakang sehingga lebam. Sebaik mengetahui kejadian itu, saya terus menghubungi seorang ustaz di maahad itu, namun ustaz terbabit memaklumkan dia tidak mengetahui tentang kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, dia dan isteri membuat laporan polis pada hari sama sebelum membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan di hospital, namun didapati hanya mengalami lebam tanpa kecederaan serius.
“Cuma, anak kini trauma dan tidak mahu lagi bersekolah di situ, saya sedih sebab anak sendiri yang minta belajar di sana kerana mahu menjadi ustaz. Tidak sangka akan jadi macam itu dan saya bersyukur dia masih bersemangat untuk menjadi seorang ustaz,” katanya.
Dakwanya, sebelum ini dia pernah melihat lebam pada badan serta benjol di kepala anaknya, namun tidak menyangka dia dibuli kerana anaknya hanya beritahu ia disebabkan terjatuh.
“Selepas ditanya, dia beritahu pernah ditumbuk, disepak dan kepalanya ditekan pada tangga oleh pelajar terbabit. Dia tidak melawan kerana takut dan dia juga beritahu, ada rakan yang bantu tuamkan dahinya yang benjol,” dakwanya.
Katanya, difahamkan, polis menyiasat perkara ini dan pelaku telah dipanggil untuk siasatan dan pihak sekolah juga telah mengambil tindakan menggantung sekolah ke atas pelaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pihaknya telah merekodkan keterangan pelaku, namun masih menunggu laporan perubatan mangsa daripada doktor. – UTUSAN
