am@hmetro.com.my
Baling: Penggera kebakaran berbunyi di Hospital Baling, petang tadi, mencetuskan suasana panik sehingga pasukan bomba dikejarkan ke hospital berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian kebakaran yang didakwa berlaku di tingkat tiga salah sebuah bangunan hospital itu, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.44 petang.
Beliau yang mengetuai operasi itu tiba di lokasi bersama sepasukan anggota BBP Baling melakukan pemeriksaan awal mendapati tiada kebakaran berlaku dan kejadian dipercayai berpunca daripada penggera kebakaran yang berbunyi.
“Pihak bomba berada di lokasi untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan keadaan suasana ketika itu agak panik.
“Namun selepas didapati tiada kebakaran berlaku, operasi ditamatkan pada jam 8.56 malam, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, turut berada di lokasi ialah anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Lalang, PBS Kuala Pegang serta anggota PBS Belia 4B.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe ketika dihubungi berkata, pihak bomba masih menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca penggera berkenaan berbunyi.
“Tiada kebakaran. Alarm (penggera) berbunyi. Bomba masih menjalankan pemeriksaan untuk mengetahui punca alarm berbunyi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
