norhayati_nordin@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyanyi Nubhan Ahamad, 40, menegaskan dia sama sekali tidak memantau akaun media sosial bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 36, sejak mereka bercerai talak dua pada Disember lalu.
Menurutnya, dia tiada keperluan untuk memantau tindakan Dr Fie setiap hari bagi mencari kesalahan wanita itu seperti didakwa kerana mereka bukan lagi suami isteri dan doktor gigi juga pempengaruh terbabit hanya ibu kepada anak-anaknya.
“Tak ada. Saya tidak perhatikan dan saya pun dah ‘unfollow’ dia (Dr Fie) di media sosial. Dah lama dah, dan saya juga banyak kerja lain nak kena buat. Saya tak ada masa nak pergi ‘stalk’ dia atau apa.
“Saya tidak tahu apa-apa. Bahkan, saya pun tidak ada akaun palsu (media sosial) hanya untuk memantau segala pergerakan dan hantaran yang dikongsikan,” katanya.
Ditanya juga mengenai tindakan memaafkan bekas isterinya itu, Nubhan berkata, dia sudah ‘membuka pintu’ kemaafaan sebelum ini untuk Dr Fie memohon maaf secara terbuka sekali gus mereka berdamai.
“Sebelum ini, saya sudah cakap minta maaf sajalah, kita berdamai dan selesai. Bagaimanapun, tindakan undang-undang ini berlaku kerana tindakan dia (Dr Fie) juga yang melanggar perintah mahkamah mengikut perjaniian dipersetujui.
“Dia yang memohon buat perjanjian tambahan (mana-mana pihak dilarang memburukkan satu sama lain), tapi kenapa dia sendiri yang langgar? Takkan salah saya pula? Selama ini saya diam dan tak balas pun di media sosial. Hingga orang akan anggap dakwaannya betul.
“Apa pun, kalau dia minta maaf secara terbuka dan dipersetujui saya dengan ikut terma undang-undang, kes sudah selesai. Permohonan maaf ini pun bukan nak cakap siapa betul atau siapa salah.
“Kita ada anak-anak, kita nak berdamai. Saya cakap minta maaf sajalah. Kalau dia harapkan saya berlembut hati, adakah bermakna dia sekarang sedar pelanggaran dibuat itu,” katanya.
Terdahulu, Nubhan bersama peguam syarie, Mohd Redzuan Ramli ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Menurut usahawan itu lagi, dia tidak mahu menjawab serta melayan provokasi di media sosial kerana enggan mencetuskan lebih banyak kontroversi, selain ingin menjaga emosi dan kehidupan harian.
Katanya, dia tidak gemar membuat ‘drama’ dalam media sosial dan menegaskan sikapnya sangat berpegang kepada janji yang sudah dipersetujuinya dan bekas isteri sebelum ini.
Sebelum ini, Nubhan atau nama sebenar Ahmad Nubhan Ahamad memfailkan prosiding komital terhadap Dr Fie atas dakwaan pelanggaran perintah mahkamah pada Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
