kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Apa yang dipelajari dalam bilik kuliah mengenai kewartawanan bencana tiba-tiba menjadi realiti buat Muhammad Saufi Hassan, 40, apabila dia dipanggil membantu liputan tragedi bas pelancong di Simpang Pulai pada 2010.
Ketika itu, Saufi bertugas sebagai wartawan sambilan Harian Metro (HM) selepas menjalani latihan industri di biro Perak.
Tugasan itu diterimanya selepas wakil HM di biro Perak ketika itu, Mohd Husni Md Noor menghubunginya untuk membantu membuat liputan di lokasi kejadian.
Namun, apa yang dilihat sebaik tiba di lokasi sangat jauh berbeza daripada apa yang pernah dipelajarinya secara teori.
“Sebaik sampai, saya melihat pihak berkuasa sedang giat mengeluarkan mangsa yang terkorban dan mengumpulkan mereka di satu tempat.
“Pemandangan itu memang mengerikan dan itu pengalaman pertama saya berdepan keadaan sebegitu kerana sebelum ini saya hanya belajar secara teori dalam bilik kuliah,” katanya ketika mengimbau kembali pengalaman 16 tahun lalu.
Tragedi pada Disember 2010 itu menyaksikan bas persiaran dua tingkat yang membawa 37 penumpang dari Cameron Highlands terbabas ketika melalui laluan berbukit dan berselekoh sebelum terbalik.
Nahas di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Juang itu mengorbankan 27 nyawa, termasuk 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan.
Bagi Saufi yang kini bertugas di meja rencana HM, keadaan mangsa ketika itu antara perkara paling sukar dilupakan sehingga kini.
Katanya, impak kemalangan menyebabkan keadaan mangsa amat menyayat hati dan pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya sebagai wartawan.
“Keadaan mangsa ketika itu memang sukar untuk dilupakan, saya masih teringat keadaan mereka selepas kemalangan.
“Sebagai orang yang pertama kali berdepan tragedi sebesar itu, ia memang sesuatu yang memberi kesan,” katanya.
Di lokasi kejadian, cabaran Saufi bukan sekadar berdepan suasana tragedi, sebaliknya memastikan setiap maklumat yang diperoleh benar-benar tepat sebelum disampaikan kepada bilik berita.
Katanya, tugasnya ketika itu lebih kepada membantu mengumpulkan maklumat daripada pihak berkuasa, khususnya bomba dan polis yang berada di lokasi.
“Cabaran terbesar ialah memproses dan mendapatkan maklumat yang sudah disahkan pihak berkuasa.
“Saya banyak membantu mengumpulkan maklumat yang diperoleh daripada bomba dan polis di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam masa sama, dia melihat sendiri anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala orang awam yang melalui kawasan berkenaan turut berhenti untuk melihat keadaan dan membantu pasukan penyelamat.
Bagi Saufi, tragedi Simpang Pulai juga mengingatkannya kepada satu lagi kemalangan bas yang pernah diliputinya ketika menjadi wartawan sambilan iaitu nahas Sani Express pada Disember 2009.
Katanya, kedua-dua tragedi memberi pengalaman berbeza kepadanya, namun kejadian Simpang Pulai lebih memberi kesan kerana jumlah mangsa terkorban lebih ramai.
“Saya melalui pengalaman praktikal dan sebagai wartawan sambilan menerusi dua kemalangan jalan raya yang tragis iaitu Sani Express pada 2009 dan bas pelancong di Simpang Pulai pada 2010.
“Insiden 2010 lebih signifikan kerana jumlah mangsa yang ramai, tetapi dari segi magnitud, saya rasa kedua-duanya tetap tragedi besar,” katanya.
Kini, selepas 16 tahun, Saufi melihat kesedaran pemandu terhadap aspek keselamatan semakin baik, selain penguatkuasaan undang-undang yang menurutnya lebih baik berbanding dahulu.
Walaupun tidak lagi kerap melalui laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dia percaya perubahan dari segi kesedaran dan penguatkuasaan mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan.
Namun, setiap kali mendengar berita mengenai kemalangan maut di lokasi atau laluan yang hampir sama, memori tragedi 2010 kembali menerpa.
“Bila berlaku kemalangan maut di laluan yang hampir sama, perkara pertama yang terlintas ialah apa yang saya lihat ketika insiden 2010.
“Pemandangan mangsa ketika itu sukar untuk dipadam daripada ingatan,” katanya.
Lebih daripada sekadar pengalaman membuat liputan, tragedi berkenaan turut mengajarnya satu perkara penting dalam dunia kewartawanan iaitu bagaimana menguruskan maklumat ketika berdepan situasi bencana.
Katanya, dalam keadaan kecemasan, ketepatan maklumat perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat yang belum disahkan.
“Saya belajar bagaimana menguruskan maklumat dalam keadaan bencana kerana dalam situasi sebegini, wartawan perlu tenang, mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan memastikan apa yang dilaporkan tepat.
“Saya juga berharap pihak berkuasa dapat berkongsi maklumat dengan lebih pantas supaya orang ramai dan media mendapat gambaran jelas mengenai sesuatu kejadian.
“Pada masa sama, orang awam perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat untuk menjalankan tugas tanpa gangguan,” katanya.
Bagi Saufi, tragedi itu menjadi antara pengalaman paling besar dalam perjalanan awalnya sebagai wartawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
