Jangan keliru! JAKIM tegaskan HICD tiada kuasa dalam Pensijilan Halal Malaysia

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa sebarang perkongsian kandungan atau kenyataan menerusi platform media sosial Halal Inquiry Company Directory (HICD) tidak mempunyai kaitan dengan agensi berkenaan.

HICD tidak pernah dilantik

Menerusi kenyataan dikeluarkan JAKIM, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menyatakan, HICD tidak pernah dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa oleh JAKIM dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.

“Sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, siasatan, penilaian atau kesimpulan yang dibuat serta disiarkan oleh HICD adalah atas kapasiti pihak berkenaan sendiri dan tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM.
“Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal hendaklah sentiasa berasaskan fakta, dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti,”katanya.

Penyampaian berkaitan isu halal perlu bertanggungjawab

Dalam pada itu, JAKIM mengingatkan bahawa perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang membentuk keharmonian Malaysia.

Sehubungan itu, penyampaian berkaitan isu halal hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab, hikmah dan berhemah.

JAKIM turut menyeru orang ramai supaya mendapatkan pengesahan berkaitan status Pensijilan Halal Malaysia melalui Portal Rasmi Halal Malaysia serta saluran rasmi JAKIM bagi mengelakkan kekeliruan.

Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Scroll to Top