Sherry Al Hadad pernah kerja pembantu ‘wardrobe’ PGLM 20 tahun lalu

KUALA LUMPUR: Sebelum dikenali sebagai pengacara dan pelakon, selebriti, Sherry Al Hadad pernah bekerja sebagai pembantu busana untuk teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) di Istana Budaya, hampir 20 tahun lalu.

Mengimbau kenangan tersebut, Sherry atau Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 41, berkata ketika itu dia ditugaskan untuk memastikan pakaian yang bakal dipakai pelakon utama iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk AC Mizal dan Stephen Rahman Hughes kelihatan kemas.

“Kalau hendak ikutkan sejarah, masa pementasan PGLM di Istana Budaya (IB) sekitar tahun 2003 dan 2005, saya bekerja sebagai pembantu ‘wardrobe’. Saya yang jaga baju Puan Sri Tiara, AC Mizal dan Stephen Rahman Hughes ketika itu.

“Bukan sahaja di IB, malah saya turut mengikut rombongan produksi sebagai pembantu ‘wardrobe’ sehingga ke pementasan mereka di Esplanade, Singapura.

“Saya sudah mula terlibat dengan dunia teater sejak dulu lagi, cuma ketika itu di belakang tabir,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media teater muzikal terbaharu, Mansur & Liu, di Istana Budaya, baru-baru ini.

Tambah Sherry, dia turut berpeluang bercerita pengalamannya sebagai kru kepada para pelakon selepas bergelar selebriti.

“Bila saya sudah masuk dalam industri dan berpeluang bersembang dengan Puan Sri Tiara, saya cakap kepadanya; ‘Madam, saya dulu assistant wardrobe yang jaga Madam masa PGL.’ Dia sangat terkejut.

“Sama juga dengan Datuk AC Mizal, saya beritahu dia yang saya pernah jaga baju-baju dia dulu. Bila kenang balik, memang seronok. Apapun perwatakan saya dari dulu sampai sekarang sama sahaja, tetap ceria,” katanya ketawa.

Sementara itu, kongsi Sherry, daripada seorang kru dia mula berjinak-jinak terjun ke dalam dunia lakonan teater sekitar 2006 sekali gus mengakui perjalanannya bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya membina nama dalam industri ini untuk orang terima bakat saya mengambil masa yang sangat lama. Saya bukan masuk dengan ‘total package’ atau rupa paras yang konvensional.

“Sebab itu saya sangat menjaga reputasi dan bakat saya kerana saya mahu orang percaya kepada apa yang saya mampu berikan di atas pentas,” ujarnya.

Sudah melakonkan hampir 10 teater muzikal, Sherry bersyukur apabila bakal terlibat dalam pementasa teater muzikal pertama arahan Datuk M.Nasir menerusi Mansur & Liu.

Memegang watak sebagai Mak Inang Fang, Sherry bakal menari dan bernyanyi di samping melontarkan dialong dalam bahasa Mandarin.

“Datuk M.Nasir seorang yang sangat tenang, dia beri kami ruang untuk bereksperimen tapi tidaklah terlalu liar. Dia bukan seorang garang seperti disangka ramai orang. Jadi kami tidaklah sampai terketar-ketar nak pergi latihan.

“Cuma yang sedikit mencabar ialah bahagian saya bernyanyi, dekat rumah saya berlatih macam okay. Tapi bila nampak muka dia, saya punya ‘tune’ sudah lari ke mana. Masalah juga mahu bernyanyi depan sifu,” katanya berseloroh.

Pementasan tersebut akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama 11 hari, bermula 10 hingga 20 September depan. -UTUSAN

Scroll to Top