PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu.
RoS memaklumkan aduan berkenaan yang diterima pada hari ini turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
“Penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi jabatan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Bersatu sebelum ini mendakwa hak untuk hadir dan memberi pandangan pandangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) berdasarkan Fasal 7 Perlembagaan PN dinafikan apabila wakilnya dihalang daripada menghadiri mesyuarat berkenaan pada 16 Julai lalu.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan pembahagian kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk keputusan yang didakwa bertujuan menghalang Bersatu daripada bertanding menggunakan logo PN.
Sementara itu, RoS berkata, bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang, semua maklumat, dokumen serta penjelasan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkaitan akan diteliti.
Jabatan itu turut menegaskan setiap pertubuhan berdaftar wajib mematuhi Akta Pertubuhan 1966, peraturan-peraturan berkaitan serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
“Penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
RoS menegaskan pihaknya akan terus bertindak secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak serta tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik.
