nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tujuh lokasi di Sarawak mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 2 petang tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian; Samarahan; Kuching, Sri Aman; Sarikei; Mukah dan Sibu merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 178 diikuti Samarahan (177), Kuching (174), Sri Aman (161), Sarikei (157), Mukah (152) dan Sibu (151).
Selain itu, tiga lokasi di Lembah Klang turut merekodkan IPU tidak sihat iaitu Johan Setia (158), Shah Alam (105) dan Cheras (128).
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini dijangka tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara bagi tempoh tiga hingga lima hari.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi dilaporkan berkata, meskipun hujan diramal berlaku di beberapa tempat, ia belum mampu untuk memulihkan kualiti udara secara besar-besaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd


