Jet pejuang F-16 Turkiye terhempas ketika latihan

ANKARA: Sebuah jet pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye terhempas ketika menjalani penerbangan latihan di wilayah Yalova, barat laut negara itu pada Rabu, menurut Kementerian Pertahanan negara itu.

Kementerian berkenaan mengesahkan bahawa juruterbang pesawat terbabit berjaya keluar menggunakan kerusi anjal dan terselamat dalam insiden tersebut.

Sebuah lagi pesawat kelihatan terbang berhampiran lokasi kejadian bersama kepulan asap kedua yang lebih nipis.

Laporan media tempatan memaklumkan nahas berlaku semasa latihan di Pangkalan Udara Yalova, yang terletak di tenggara Istanbul.

Menurut portal Türkiye Today, pesawat berkenaan terhempas berhampiran Pangkalan Jet Utama Ke-18 di pekan Taskopru, dalam daerah Ciftlikkoy, Yalova.

Pasukan perubatan dan bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus insiden berlaku. Juruterbang terbabit dibawa ke Hospital Latihan dan Penyelidikan Yalova berhampiran untuk menerima rawatan.

Pesawat itu milik Skuadron Gazelle dari Pangkalan Jet Utama Ke-1 Eskisehir yang pakar dalam misi tinjauan. 

Pihak tentera Turkiye memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Insiden ini berlaku hanya sebulan selepas sebuah pesawat tentera terbakar di udara sebelum melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang sebuah pulau peranginan di Greece. – AGENSI

Scroll to Top