TAIPING bakal menjadi tumpuan komuniti larian denai dunia apabila lebih 2,700 pelari dari 63 negara menyertai Malaysia Ultra-Trail oleh UTMB di Dataran Warisan Taiping dari 10 hingga 13 September ini.
Pengarah Perlumbaan Malaysia Ultra-Trail, Ewegene Tan berkata, penyertaan besar itu mencerminkan perkembangan pesat acara berkenaan sejak diperkenalkan sebagai Malaysian Mountain Trail Festival pada 2018 sebelum menjadi sebahagian daripada Siri Dunia UTMB pada 2024.
Katanya, acara itu bukan sekadar perlumbaan, sebaliknya menjadi platform untuk mempertemukan pelari tempatan dan antarabangsa selain memperkenalkan keunikan Taiping serta Malaysia kepada dunia.
“Ketika bermula, cita-cita kami bukan sekadar menganjurkan satu lagi perlumbaan denai. Kami mahu membawa acara antarabangsa ke Malaysia yang menghubungkan pelari tempatan dengan dunia larian denai, selain mengetengahkan keunikan Taiping dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Lebih 1,000 peserta antarabangsa dijangka mengambil bahagian, termasuk pelari dari Nepal, China, Jepun, Hong Kong, Perancis, Britain dan Taiwan, selain atlet adaptif dari Filipina dan Indonesia.
Lima kategori ditawarkan iaitu MY100, MY50, MY25, MY13 dan MYKIDS dengan cabaran utama MY100 membabitkan jarak 97.7 kilometer (km) serta ketinggian terkumpul 4,802 meter (m) merentasi hutan hujan sekitar Bukit Larut.
MY50 pula meliputi jarak 54.5 km dengan ketinggian 1,977 m, manakala MY25 sejauh 25.9 km dengan pendakian 1,012 m termasuk dua lintasan sungai. MY13 dan MYKIDS pula memberi ruang kepada pelari baharu serta kanak-kanak untuk merasai pengalaman larian denai.
Bukan sekadar mengejar kemenangan di Taiping, pelari terbaik turut berpeluang membuka laluan ke pentas dunia apabila tiga pelari lelaki dan wanita terbaik MY100 menerima penyertaan terus ke kategori 100K CCC, manakala tiga terbaik MY50 ke kategori 50K OCC pada Siri Dunia Akhir UTMB 2027 di Chamonix, Perancis.
“Bagi pelari Malaysia, perjalanan ke Chamonix boleh bermula di Taiping. Anda tidak semestinya perlu ke luar negara untuk mengejar impian itu,” katanya.
Pada masa sama, penganjuran itu turut mengangkat agenda kelestarian dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, melaksanakan pengasingan sisa dan menjalankan penanaman semula pokok.
Sejak 2022, lebih 5,500 pokok telah ditanam semula di sekitar Bukit Larut dan Taman Tasik Taiping sebagai sebahagian daripada usaha memelihara alam sekitar.
Acara itu juga dijangka menyumbang lebih RM20 juta setahun kepada ekonomi Taiping dan komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan berasaskan sukan.
“Kejayaan bagi kami bukan hanya diukur melalui jumlah pelari yang melintasi garisan permulaan. Kami mahu acara ini meninggalkan sesuatu untuk Taiping, perniagaan, komuniti dan alam sekitarnya,” katanya.