AYER KEROH – Keutuhan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini diuji dengan tindakan pihak tertentu yang mengamalkan politik ‘talam dua muka’ apabila meletakkan kepentingan politik peribadi mengatasi kepentingan rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan, tindakan ‘berselingkuh’ ketika kepimpinan negara sedang bekerja keras membina semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran negara tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai kecurangan politik, Anwar tetap menunjukkan kepimpinan berjiwa besar demi memastikan kestabilan negara tidak tergugat.
“Tatkala dada kita dipasang sembilu dan ditikam bukan dari belakang, tetapi dari hadapan, Perdana Menteri kita masih berjiwa besar dan terus mengukir senyuman di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan dan kestabilan negara.
“Sikap kegelojohan pihak tertentu yang meletakkan kepentingan politik mereka mengatasi kepentingan rakyat dan negara tidak wajar dipandang ringan,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Khamis.
Katanya, AMK bukan sekadar ‘pak turut’ yang mengangguk kepada setiap keputusan pentadbiran, sebaliknya akan mempertahankan nilai akauntabiliti dan berani menyuarakan pandangan secara berhemah berasaskan fakta.
“AMK tidak mahu menjadi kelompok yang tugasnya hanya mengangguk kepada setiap keputusan kerajaan. Kita adalah sebahagian daripada kerajaan dan kita mempertahankan perkara yang benar.
“Tetapi apabila sesuatu boleh diperbaiki, kita mesti berani menyatakan pandangan dengan fakta, dengan angka, dengan hujah dan dengan adab. Kesetiaan kepada perjuangan tidak bermaksud kita kehilangan keberanian untuk bertanya,” katanya.