harisfadli@hmetro.com.my
Klang: Menjadikan sebuah premis di Jalan Kapar sebagai ‘sarang’ menjalankan kegiatan melerai kenderaan termasuk kereta curi, 20 warga asing ditahan di sini, semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan hari ini berkata serbuan turut membongkar kegiatan rumah transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) di premis itu.
Menurutnya, dalam operasi jam 4.30 petang itu sepasukan pegawai daripada JIM Putrajaya menahan 20 warga asing ditahan terdiri daripada 17 warga Pakistan dan tiga warga Indonesia.
“Siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai turut terlibat dalam kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah di Kapar, baru-baru ini.
“Penahanan warga Indonesia ini juga membawa kepada pembabitan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan ‘rumah penampungan’ PATI,” katanya hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya percaya PATI warga Indonesia terbabit sedang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal dengan bayaran dikenakan sekitar RM5,000 ke RM 10,000 seorang.
Katanya, kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depot Imigresen bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“JIM menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah.
“Jabatan juga komited mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Terdahulu media melaporkan pihak polis menahan seorang lelaki Pakistan dan menemui sebuah van jenazah tular yang dikatakan dicuri.
© New Straits Times Press (M) Bhd
