WASHINGTON: Dua kumpulan media Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memfailkan saman terhadap Presiden Donald Trump berhubung tindakannya mengenakan bayaran bagi akses awal kepada hantaran Truth Social yang sering memberi kesan kepada pasaran.
Saman yang difailkan di New York oleh The Intercept dan Freedom of the Press Foundation itu menyatakan skim berkenaan sebagai luar biasa, korup dan tidak berperlembagaan.
Pelanggan perkhidmatan berbayar tersebut sepatutnya mendapat akses hampir serta-merta kepada mesej Trump di platform Truth Social, beberapa saat penting lebih awal berbanding orang awam.
Tokoh parti Republikan berkenaan sering menggunakan platform itu untuk mengumumkan berita besar, daripada perkembangan perang di Iran hingga tarif perdagangan, yang semuanya boleh menyebabkan nilai pasaran menjunam atau melonjak dengan serta-merta.
Perkhidmatan itu boleh menelan kos sehingga AS$100,000 (RM409,000) atau AS$60,000 (RM245,000) sebulan jika pengguna membuat komitmen selama tiga tahun.
Dokumen mahkamah mendakwa bahawa perkhidmatan berasaskan langganan tersebut menyekat akses awam terhadap maklumat berkepentingan umum.
“Skim ini amat korup.
“Presiden bakal memperoleh keuntungan peribadi dengan menyerahkan maklumat kerajaan yang berupaya menggerakkan pasaran kepada pihak yang mampu dan sanggup membayar syarikat peribadinya,” menurut dokumen tersebut.
Tuntutan undang-undang itu membangkitkan hak kebebasan akhbar di bawah Perlembagaan AS dan mendakwa rancangan berkenaan melanggar jaminan tersirat Pindaan Pertama mengenai akses saksama kepada pengumuman awam presiden.
Ia turut mendakwa perkhidmatan langganan itu melanggar perlindungan Pindaan Kelima yang didakwa menyekat kerajaan daripada mengenakan kadar bayaran sewenang-wenangnya untuk mengakses maklumat kerajaan. – AFP/AGENSI
