redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kluang“Jauh di sudut hati saya menyimpan keinginan nak berkahwin dan ada zuriat, cuma soal jodoh saya serahkan kepada Allah SWT.
“Buat masa sekarang, keutamaan saya adalah menjaga emak dengan abah kerana itu yang lebih penting,” kata Zulridza Zulkepli (Reza) yang kini menggalas tanggungjawab ‘syurganya’.
Reza, 31, dari Kampung Melayu Batu 9, di sini mengakui apa yang dilaluinya tidak mudah kerana bapanya, Zulkepli Katan, 71, menghidap masalah buah pinggang kronik manakala ibunya, Ainon Sapar, 68, menghidap dementia serta terlantar akibat diserang angin ahmar.
Reza yang masih bujang itu baru-baru mendapat perhatian selepas berkongsi video membantu memandikan ibunya yang duduk di kerusi roda dan perkongsian itu menyentuh hati warganet hingga ramai menitipkan doa buatnya.
Menceritakan kisahnya, Reza berkata, dia adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal bersama ibu dan bapanya, bagaimanapun, kakak dan abangnya turut membantu daripada segi kewangan serta tinggal bersama keluarga masing-masing.
“Emak diserang angin ahmar pada 2015 namun pulih dan stabil hingga boleh memasak serta buat kerja rumah. Dua tahun lalu, emak jatuh sakit semula akibat penyakit sama dan akhirnya terlantar sehingga sekarang.
“Emak sudah tak boleh bertutur dengan lancar dan ada dementia cuma bukan pada tahap kronik.
“Abah pula sakit sejak 2019 dan jari kaki kanannya tidak dapat diselamatkan hingga terpaksa dipotong dan kini perlu menjalani dialisis akibat penyakit buah pinggang kronik,” katanya.
Pegawai di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini itu berkata, dia terpaksa meninggalkan ibu dengan bapanya di rumah ketika bekerja.
Bagaimanapun, dia memantau dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan menerusi telefon dan akan menyiapkan terlebih dahulu keperluan ibu bapanya sebelum ke tempat kerja.
“Saya bangun tidur seawal jam 4 pagi kerana perlu uruskan abah kemudian barulah siapkan emak…kemudian hantar abah ke pusat dialisis dalam jam 6 pagi.
“Selepas itu, saya bergerak ke tempat kerja dan sambung uruskan emak dengan abah sebaik pulang ke rumah.
“Begitulah rutin setiap hari sedih kerana terpaksa tinggalkan emak dan abah kerana terfikir bagaimana keadaan mereka di rumah.
“Tapi saya tak boleh tunjukkan kesedihan waktu bekerja kerana rutin harian adalah bertemu pesakit yang dapatkan bantuan jadi dan mendengar cerita mereka. Jadi bila waktu bekerja perlu profesional dan ada empati yang tinggi,” katanya.
Reza mengakui perlu banyak bersabar menjaga dan menguruskan ibu bapanya kerana bukan mudah mengawal emosi terutama dalam keadaan letih selepas seharian bekerja.
“Apabila tengok wajah abah dan pegang tangan emak, saya jadi sebak kerana mengenangkan pengorbanan mereka membesarkan saya dahulu.
“Abah mencari rezeki dan emak pula pernah memandikan, memimpin tangan ke sekolah dan banyak mengajar memasak serta buat kerja dapur hingga saya boleh berdikari sejak kecil.
“Kini, giliran saya pula menjaga mereka walaupun banyak berkorban dan mengehadkan masa untuk melakukan apa yang saya minat iaitu mendaki, berlari serta ke rutin kecergasan di pusat gimnasium,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
