hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib keluarga Allahyarham Mohamad Nur Haziq Mohd Anin yang maut dalam kemalangan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Brickfields), Jalan Travers pada 31 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook meluangkan masa menyantuni keluarga Allahyarham, hari ini.
Ia sebagai tanda sokongan moral selain Hoo turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham Mohamad Nur Haziq yang meninggalkan seorang balu, Aisyah Rodzi dan tujuh anak.
Hoo berkata, kehilangan suami dan ayah secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mudah untuk diterima serta ia adalah cabaran besar untuk meneruskan kehidupan dengan membesarkan anak masih kecil.
“Kehilangan suami bukan sekadar kehilangan pasangan hidup, tetapi insan yang berkongsi tanggungjawab, menjadi tempat bergantung dan menjadi sebahagian kekuatan keluarga.
“Begitu juga anak kehilangan insan untuk membimbing dan melindungi.
“Bagaimanapun, kami percaya sokongan daripada masyarakat, badan kebajikan, pihak swasta dan individu yang prihatin juga amat bermakna dalam membantu keluarga ini membina semula kehidupan mereka,” katanya di sini, hari ini.
IPD Brickfields turut mengambil inisiatif menggerakkan bantuan kebajikan termasuk kutipan derma kilat dalam kalangan warganya, sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab bersama terhadap keluarga yang sedang melalui detik sukar dalam kehidupan mereka.
Turut menyampaikan sumbangan Ketua Polis Balai Travers, Inspektor Amirul Fazli Md Roslim yang mewakili warga Balai Polis Travers.
Hoo berkata, beliau berharap sumbangan dan bantuan diberikan itu dapat membantu dan meringankan beban Aisyah dan tujuh anaknya sekali gus memberi mereka kekuatan meneruskan kehidupan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang guru sambilan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kenderaan berhampiran Jalan Travers, di sini, pada 31 Julai lalu.
Mangsa, Mohamad Nurhaziq Mohd Anin, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum pengesahan dibuat pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengah hari.
Seorang wanita kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Trafik, Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Travers pada 31 Julai.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilapor berkata, tertuduh berusia 21 tahun didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd
