Kepakaran, inovasi anak Malaysia semarakkan Jalur Gemilang di litar dunia

Kuala Lumpur: Di sebalik deruman enjin jentera bernilai jutaan ringgit dan sorakan ribuan peminat di litar ikonik dunia, Malaysia turut mencipta nama dalam arena permotoran antarabangsa apabila kepakaran anak tempatan semakin mendapat pengiktirafan global.

Makna kemerdekaan hari ini bukan lagi sekadar bebas daripada penjajahan, sebaliknya turut diterjemahkan melalui keupayaan dan keberanian rakyat Malaysia menembusi pentas dunia menerusi kejayaan pelumba, jurutera, mekanik serta pengeluar komponen tempatan.

Dalam saingan kejuaraan dunia permotoran yang penuh mencabar, penglibatan mekanik Firdaus Mukhazir, kejayaan jenama tempatan Racing Boy (RCB) yang dipelopori Kumpulan MKA serta kemunculan pelumba muda Hakim Danish Ramli menjadi bukti bahawa kepakaran anak Malaysia semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Hakikatnya, kejayaan di litar tidak hanya bergantung kepada pelumba, malah turut digerakkan oleh individu di belakang tabir yang memastikan jentera berada pada tahap terbaik.

Firdaus, 28, yang menganggotai pasukan MT Helmets MSI, bukan sekadar bertanggungjawab memastikan setiap komponen dipasang dengan sempurna, malah memikul amanah terhadap keselamatan pelumba dan prestasi jentera di grid persaingan elit dunia.

Kejayaannya turut membuktikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) mampu melahirkan tenaga mahir bertaraf antarabangsa, sekali gus membuktikan anak tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan pakar dari Eropah.

Pelumba di bawah jagaannya Ryusei Yamanaka pernah meraih podium pertamanya dalam saingan Moto3 pada 2025, pencapaian yang turut membuka mata dunia terhadap kepakaran mekanik dari Malaysia.

“Kenangan terindah saya ialah ketika Yamanaka meraih podium pertama dalam Moto3 pada 2025. Bermula daripada detik itu, ramai yang tidak menyangka rupanya ada mekanik Malaysia di sebalik kejayaan beliau dan orang mula mengenali saya,” katanya.

Firdaus yang turut menjadi rakan pembimbing kepada Hakim Danish berkata beliau menyasarkan untuk bergelar mekanik utama pasukan, satu posisi yang selama ini banyak didominasi tenaga mahir dari Eropah.

“Saya rasa buat masa sekarang tiada. Semuanya banyak daripada Sepanyol, misalnya. Ini tahun keempat saya dan saya akan cuba mengejar untuk menjadi mekanik utama tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata, matlamatnya bukan semata-mata soal imbuhan, sebaliknya mahu membuktikan tenaga mahir Asia juga mampu menjadi antara mekanik terbaik dunia dalam sukan permotoran.

Sementara itu, aspek inovasi dan kejuruteraan tempatan turut menyerlah menerusi Kumpulan MKA yang berpangkalan di Puchong, Selangor, dengan Doc Dol selaku pengarahnya.

Menurut beliau, kumpulan itu kini mempunyai hampir 800 kakitangan di peringkat global, termasuk di Indonesia, Thailand dan Itali, namun pusat operasinya di Puchong kekal diterajui 100 peratus oleh tenaga tempatan.

Menerusi jenama RCB, syarikat itu turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pembekal pertama dari Malaysia yang menghasilkan ‘Nagamaki Handle Grip’ untuk digunakan dalam saingan MotoGP.

Selain pemegang tangan, pelbagai komponen lain seperti ‘handlebar’, ‘footrest’, ‘brake protector’ dan ‘engine protector’ keluaran RCB kini turut digunakan oleh pasukan antarabangsa.

Doc Dol berkata keadaan kini berubah apabila pasukan elit dunia sendiri mendapatkan khidmat syarikat itu untuk menghasilkan pesanan khas, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kualiti produknya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, pihaknya berdepan pandangan skeptikal daripada pakar luar negara, termasuk terhadap identiti dan warna produk tempatan.

Kepercayaan pasukan antarabangsa terhadap RCB bermula pada 2018 menerusi Gresini Racing Moto3 yang ketika itu menampilkan pelumba Jorge Martin dan Fabio Di Giannantonio.

Kini, komponen RCB digunakan oleh sembilan pasukan dalam MotoGP, selain lapan pasukan dalam kategori Moto2 dan Moto3.

Pencapaian itu membuktikan inovasi dan kejuruteraan Malaysia mampu menepati standard kualiti serta kebolehpercayaan jenama antarabangsa di pentas tertinggi sukan permotoran.

Bagi Hakim Danish pula, erti kemerdekaan bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya turut menuntut pengorbanan apabila terpaksa menjalani latihan intensif dan menghabiskan sebahagian besar masa di luar negara.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi berusia 19 tahun itu hanya sempat pulang ke tanah air dua atau tiga kali setahun bagi memastikan fokusnya kekal terhadap persaingan di litar antarabangsa.

Segala pengorbanan itu akhirnya terbayar di Brno, Republik Czech, apabila beliau bangkit daripada penalti 12 petak untuk menamatkan kemarau kemenangan Malaysia selama sedekad dalam saingan Moto3.

“Apabila lagu Negaraku berkumandang, segala lelah yang terpaksa saya lalui terasa begitu berbaloi dan ia menjadi jawapan kepada harga pengorbanan saya selama ini,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, Hakim Danish mengakui terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga, termasuk sambutan hari lahir ahli keluarga dan Hari Raya, demi mengejar impian di pentas dunia.

“Hari lahir ahli keluarga dan kemeriahan Hari Raya semuanya terpaksa saya korbankan. Saya tiada pilihan selain mengeraskan hati demi kedaulatan bakat anak muda Malaysia di pentas global,” katanya dalam nada sebak.

Sinergi antara Firdaus sebagai tenaga di belakang jentera, RCB sebagai peneraju teknologi serta Hakim Danish sebagai pelumba menunjukkan impian melahirkan pasukan Malaysia yang mampu bersaing di pentas permotoran dunia bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Jika suatu ketika dahulu Jalur Gemilang berkibar hasil perjuangan mempertahankan kedaulatan negara, hari ini ia terus megah menerusi kejayaan anak tempatan dalam bidang kepakaran, inovasi dan sukan permotoran antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top