sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelari 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy mahu tampil dengan prestasi terbaik sekali gus mengulangi pencapaian sebelum ini untuk memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Aichi-Nagoya yang akan bermula September depan.
Bagi Shereen, dia mengetahui cabaran yang bakal dihadapi daripada peserta negara lain juga sengit, malah menamatkan larian selaku pelari pertama melepasi garisan penamat menjadi idaman setiap atlet.
Namun, pelari berusia 29 tahun itu memilih untuk tidak meletakkan segala beban terhadap dirinya sendiri kerana ia pasti memberi impak terhadap prestasinya dalam pertandingan. Sebaliknya, dia akan berusaha memastikan berada dalam kelompok tiga teratas.
“Sudah tentu semua orang mahu memenangi pingat emas. Saya tidak akan meletakkan sasaran lebih rendah, tetapi pada masa sama saya juga tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Buat masa ini, saya mahu memastikan berada di podium.
“Saya rasa saya semakin kuat dan peluang itu ada. Bagaimanapun, pada akhirnya saya tidak boleh mengawal apa yang akan berlaku. Tetapi itulah sasaran yang ada dalam fikiran saya dan itulah yang saya akan bawa ke Sukan Asia nanti. Saya mahu mengulangi kejayaan memenangi pingat gangsa,” katanya.
Pada edisi lalu di Hangzhou 2022, Shereen berjaya menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan 52.58 saat (s) untuk meraih gangsa, sekali gus menamatkan penantian 17 tahun kem olahraga negara untuk memenangi pingat.
Dalam masa sama, Shereen akan menjadikan Terbuka India pada 22 Ogos ini sebagai sebahagian daripada persiapan akhirnya menuju Sukan Asia, selain mahu memperbaiki catatan terbaik musim ini.
“Setakat ini persiapan saya berjalan dengan baik kerana saya akan bertanding di India. Saya semakin kuat dan teruja untuk melihat apa yang mampu saya lakukan. Saya mahu melakukan catatan lebih baik daripada catatan terbaik musim ini yang saya lakukan di Taiwan. Itu sasaran saya buat masa ini,” katanya yang merekodkan catatan terbaik musim (SB) 52.73s.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam acara 4x100m, pemegang rekod 400m itu berkata keutamaan tetap diberikan kepada acara individu 400m terlebih dahulu, namun jika kedua-dua acara itu tidak bertindih, dia bersedia untuk membantu kuartet negara.
“Buat masa sekarang, saya memang berada dalam skuad 4x100m, tetapi fokus saya adalah kepada acara 400m. Jika acara 4x100m berlangsung selepas itu, saya akan bantu pasukan. Tetapi jika acara 400m berlangsung selepas 4x100m, saya perlu fokus kepada acara saya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Shereen turut mengesahkan dirinya kini bebas daripada kecederaan hamstring dan berada dalam keadaan fizikal yang semakin baik menjelang Sukan Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd

