STR Fasa 3 mula disalur kepada 5.3 juta penerima hari ini

PETALING JAYA: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat hari ini kepada 5.3 juta penerima, membabitkan peruntukan RM1.2 bilion.

Jumlah penerima itu meningkat sebanyak 300,000 berbanding lima juta penerima pada awal tahun.

Daripada jumlah itu, 3.9 juta merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas tiada pasangan.

Bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan jumlah penerima itu membuktikan kerajaan terus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran.

“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, Kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. 

“Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat, sementara kerajaan meneruskan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.

“STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara Kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.

“ Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” ujarnya.

Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun ini mencecah RM3.6 bilion.

Bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan.

Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai hari ini.

Penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.- UTUSAN

Scroll to Top