KOTA KINABALU – Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan sebahagian daripada parti komponen gabungan tersebut.
Beliau berkata, pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lalu, KDM melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tunggalnya memberikan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Keputusan tersebut menjadikan KDM sebahagian daripada kerajaan Sabah.
“Susulan pengumuman Presiden KDM, saya berkesempatan berhubung dengan ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman, yang juga merupakan ADUN tunggal KDM.
“Menurutnya, komitmen beliau adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat yang beliau wakili dan memastikan kestabilan kerajaan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dalam pada itu turut memaklumkan ADUN KDM tersebut menghadiri program bersama ADUN kerajaan yang lain pada pagi Sabtu.
“Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) merangkap aktivis politik, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata tindakan menarik sokongan yang digerakkan oleh sesetengah blok politik bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Beliau sebaliknya melihat ia hanya satu usaha terdesak bagi menutup kegagalan mutlak serta penolakan penuh rakyat terhadap mereka pada PRN lalu.
Tegasnya, senario politik hari ini jelas membongkar semula agenda tersirat penubuhan KDM sebagai ‘parti serpihan’ Parti Warisan (Warisan).
“Sejak awal lagi, KDM digerakkan semata-mata untuk menarik sokongan masyarakat Bumiputera KDM selepas mereka menolak kepimpinan Warisan.
“Data rasmi keputusan PRN dengan jelas membuktikan bahawa cubaan parti-parti ini untuk mendominasi politik Sabah telah dihukum sepenuhnya oleh pengundi di peringkat akar umbi.
“Dalam PRN17, KDM telah bertanding dengan agresif di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, namun mereka menerima tamparan hebat apabila hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja, iaitu DUN Paginatan menerusi Datuk Rusdin Riman,” katanya.
Tambah beliau lagi, simbol keruntuhan pengaruh KDM terbukti apabila Pemangku Presiden KDM sendiri, Priscella Peter, turut tumpas dalam cubaan meraih mandat rakyat, di mana kegagalan ketua utama parti mengekalkan kemenangan adalah bukti moral bahawa parti ini sudah ditolak sepenuhnya.
“Senario yang sama menimpa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang mana walaupun meletakkan calon yang ramai, iaitu di 46 daripada 73 kerusi DUN, mereka mengalami kekalahan besar dan hanya mampu mempertahankan dua kerusi sahaja, iaitu di DUN Tambunan dan DUN Bingkor.
“Tindakan KDM yang cuba mengadakan perbincangan atau gerakan luar kerajaan bersama pakatan lama adalah langkah terdesak bagi membentuk talian hayat baharu pasca kekalahan mereka,” katanya.
Katanya, rakyat Sabah sudah memberikan keputusan yang sangat jelas dalam PRN17, di mana kegagalan meraih kerusi serta tumpasnya kepimpinan tertinggi KDM mempamerkan penolakan mutlak masyarakat Bumiputera KDM terhadap agenda peribadi mereka.
“Walaupun masih banyak kekurangan, namun jangkaan empat hingga lima tahun akan datang, tiga masalah kritikal iaitu isu air, krisis elektrik dan masalah jalan raya akan mampu dinoktahkan sepenuhnya di bawah pentadbiran GRS,” katanya.
KDM sebelum itu mengumumkan bahawa parti itu menarik sokongan daripada kerajaan GRS dan bersedia untuk membentuk jajaran baharu menerusi Blok Borneo bersama parti tempatan, iaitu Warisan dan STAR.

