AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mempertimbangkan untuk menggantikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan individu lain.
Wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris berkata, ini kerana pemimpin UMNO terbabit sedang terlibat dalam konflik berkaitan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
“Saya fikir tak salah sekiranya Pengerusi MARA itu diubah memandangkan beliau sekarang sedang terlibat dengan konflik RCI TH, malah sibuk pula saman, LOD sana dan sini.
“Bagi dia bertenang, mungkin tempoh bertenang. Maka kita boleh uruskan yang lain di bawah kapasiti Kerajaan Perpaduan yang Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Sabtu.
Selain itu katanya, PKR perlu memberikan jawatan tertentu dalam kerajaan kepada wakil parti berkenaan.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan parti mempunyai ruang dan pengaruh untuk mendekati masyarakat.
“Tolong Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), letakkan orang-orang kita pada jawatan yang sesuai yang membolehkan kita ada autoriti, kita ada kuasa untuk mendekati rakyat.
“Tolong letakkan orang-orang kita pada ‘post-post’ yang membolehkan kita mempengaruhi rakyat,” katanya.

