Mengubah wajah suram Pulau Aman

Mengubah wajah suram Pulau Aman

NAMA Pulau Aman mungkin tidak segah pulau pelancongan lain yang terdapat di Malaysia ketika ini.

Malah, nama itu mungkin hanya melekat di minda kaki-kaki pancing, kaki hutan atau mereka yang ingin lari daripada kesibukan kota.

Terletak 16 batu nautika dari Seberang Perai dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Aman didiami kira-kira 258 penduduk daripada 60 ke­luarga yang hampir kesemuanya berketurunan Melayu.

Mengikut catatan sejarah, pulau yang berukuran kira-kira 116.5 hektar itu mula dihuni sekitar kurun ke-19 dan ketika ini, ia menjadi satu-satunya perkampungan nelayan di Pulau Pinang yang terjaga keasliannya.

Boleh diakses melalui Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan bot yang melibatkan jarak perjalanan sejauh kira-kira 10 minit, Pulau Aman sebenarnya me­nyimpan pelbagai khazanah luar biasa untuk diterokai.

Antara yang menarik adalah kewujudan Telaga Mas yang dikatakan dijumpai secara tidak sengaja oleh seorang penduduk ketika sedang menggali lubang untuk dijadikan telaga.

Pulau Aman juga popular kerana memiliki pokok sukun pulut yang tertua di Malaysia yang dilaporkan masih utuh dan berbuah sehingga hari ini.

Difahamkan, pokok tersebut pada mulanya ditanam oleh seorang guru al-Quran yang dikenali sebagai Tok Awang Akib pada 1890 dan sehingga kini, terdapat kira-kira 30 batang pokok yang akan berbuah tiga kali dalam tempoh setahun di pulau itu.

Menambah keunikan pulau tersebut adalah penduduknya hanya berjalan, menggunakan basikal atau motosikal sahaja sebagai mod pengangkutan untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain.

Seperti kawasan penempatan lain, Pulau Aman juga masih lengkap dengan pelbagai kemudahan asas lain termasuk klinik, dewan serbaguna, masjid dan sekolah, walaupun jumlah murid yang belajar di sekolah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman kini hanya 28 orang sahaja.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Zulkplee Yusoff, lokasi itu pernah mencapai zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu kerana keenakan mi udang.

Menurut beliau, pernah dilaporkan bahawa pasangan dari Hong Kong sanggup mengambil penerbangan ke Pulau Pinang semata-mata untuk menikmati mi udang.

Katanya, pakej lain yang ditawarkan adalah ke Pulau Gedung yang terletak bersebelahan Pulau Aman dengan menaiki bot.

“Pulau Gedung ini merupakan satu pulau yang unik kerana ia menempatkan gudang peluru lama selepas zaman peninggalan British dan beberapa barangan bersejarah lain yang belum diterokai,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Lebih unik, katanya, beberapa ekor rusa juga pernah diternak di Pulau Aman suatu ketika dahulu dan dibiarkan berkeliaran di sekitar kampung sebagai daya tarikan pengunjung.

Ringkasnya, Zulkplee berkata, walaupun bersaiz kecil, Pulau Aman sentiasa meriah dengan kunjungan pelancong yang ingin melihat sendiri keunikannya.

KELANGSUNGAN PENDUDUK PULAU AMAN

Mengubah wajah suram Pulau Aman
ZULKPLEE Yusoff menunjukkan deretan rumah penduduk yang dibina atas air di Pulau Aman, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Seiring dengan perubahan waktu, Pulau Aman juga tidak terkecuali daripada tempias arus pemodenan termasuk kenaikan kos barangan serta bahan api yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada penduduk di situ.

Zulkplee berkata, contoh yang paling ketara adalah tambang bot untuk ke Pulau Aman terpaksa dinaikkan daripada RM8 kepada RM10 bermula 1 Jun lalu, selain kenaikan harga parkir di Jeti Batu Musang.

Peningkatan kos tersebut dikhuatiri akan menyebabkan pengunjung tidak lagi menjadikan Pulau Aman sebagai destinasi pilihan, khususnya untuk beriadah atau bersiar-siar sambil menikmati keindahan kampung.

“Pada masa yang sama, beberapa pakej seperti meneroka Pulau Gedung juga terpaksa ditangguhkan kerana kita tidak dapat menanggung kos bot yang mahal untuk ke situ,” katanya.

Ujarnya, pakej berkaitan bot kebanyakannya diusahakan oleh persatuan nelayan.

Sementara itu, Zulkplee berkata, kawasan penginapan seperti inap desa dan chalet terapung pula hanya menjadi tumpuan pada hujung minggu atau cuti sekolah sahaja.

Katanya, itu pun rata-rata pengunjung terdiri daripada kalangan pemancing dan ahli keluarga mereka sahaja.

“Kalau si ayah pergi memancing, kebiasaannya si ibu dan anak-anak akan bersiar-siar sahaja atau melakukan aktiviti sampingan seperti mengutip siput dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, satu lagi masalah yang dihadapi adalah meng­hidupkan suasana malam, selain mewujudkan beberapa lagi lokasi tumpuan untuk menarik kedatangan pelancong.

“Dulu, ada banyak juga program motivasi dianjurkan di sini. Kita ada banyak tapak khemah, kemudahan dan lain-lain. Kiranya ada pendapatan tambahan untuk penduduk.

“Tetapi, selepas pandemik Covid-19, keadaan berubah dan kebanyakan pengunjung yang datang ke Pulau Aman sebahagian besarnya adalah untuk memancing sahaja,” katanya.

Zulkplee berkata, Pulau Aman juga pernah dikenali sebagai antara pengeluar kerang terbaik suatu ketika dahulu.

Namun, sejak peristiwa tsunami lebih 20 tahun lalu dan pembinaan projek jambatan kedua lebih 10 tahun lalu, ia seakan terhenti.

“Kita pun sudah panggil Jabatan Perikanan datang periksa sama ada ia berpunca daripada masalah selut atau ada isu lain yang menyebabkan kerang tidak lagi dapat dikeluarkan di sini,” katanya.

Tambahnya, pengusaha belacan, ikan kering dan makanan berasaskan sukun juga boleh dibilang dengan jari, selain penduduk yang aktif bekerja sebagai nelayan.

“Projek seperti Kampung Angkat Madani yang dibuat di sini memang sedikit sebanyak membantu kami. Mereka membantu menaik taraf beberapa tempat, membina denai dan sebagainya. Tetapi, ia sebenarnya bersifat sementara sahaja dan bukan untuk tempoh yang lama.

“Jadi, kami khususnya di sini perlu memikirkan inisiatif tambahan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Pulau Aman, sekali gus membuka peluang penduduk menjana lebih pendapatan,” katanya.

Ketika ini, katanya, terdapat cadangan untuk menjadikannya sebagai lokasi festival tahunan seperti pertandingan memancing berskala besar atau ekspedisi untuk meneroka pulau ber­kenaan seperti explorace.

Tambahnya, cadangan membina titi gantung yang menyambungkan Pulau Aman dengan bahagian selatan Pulau Gedung sejauh kira-kira 100 meter juga disifatkan sebagai inisiatif yang baik untuk menarik kunjungan pelancong.

“Kita lihat cadangan itu (titi gantung) paling realistiklah. Tak perlu peruntukan yang mahal. Dapat buat titi gantung guna kabel yang kukuh pun dah cukup.

“Pelancong pun mungkin ha­nya nak bergambar atas titi sahaja kerana seberang sana (selatan Pulau Gedung) lebih kepada kawasan paya bakau,” katanya.

Beliau berharap agar kerajaan negeri mempertimbang untuk memasukkan nama Pulau Aman dalam kalendar pelancongan Pulau Pinang seperti lokasi-lokasi tumpuan lain.

PULAU YANG MENDAMAIKAN

Di sebalik segala masalah berkaitan kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Pulau Aman, setuju atau tidak, perlu diakui bahawa lokasi itu adalah secocok dengan namanya iaitu ‘aman’ yang bermaksud keadaan tenteram, sentosa dan harmoni.

Pengunjung dari Baling, Ke­­dah, Muhammad Safwan Sha­budi, 23, berkata, kunjungan per­­tamanya berjaya mengubah persepsi awal terhadap pulau itu.

Katanya, sebelum berkunjung, dia hanya mengetahui ke­wujudan Pulau Aman menerusi bacaan dan cerita mereka yang pernah berkunjung ke situ termasuk adiknya.

“Apa yang saya nampak, kos penginapan masih murah kerana kami datang ke sini agak ramai iaitu kira-kira 17 orang daripada empat keluarga.

“Penduduk di sini juga kebanyakan ramah dan suasa­nanya tenang dan mendamaikan terutamanya bagi mereka yang bukan kategori kaki pancing.

“Saya berharap beberapa kemudahan dinaik taraf. Tandas selain daripada inap desa kebanyakan ditutup atau tidak dapat digunakan. Laluan termasuk berhampiran kawasan penempatan penduduk atau menuju ke lokasi tumpuan boleh dicantikkan lagi,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top