Keselamatan penunggang motosikal diperkasa, 1,000 pencarum terima MYRIDERID percuma

Keselamatan penunggang motosikal diperkasa, 1,000 pencarum terima MYRIDERID percuma

Seramai 1,000 pencarum menerima MYRIDERID secara percuma sempena pelancaran sistem pengenalan kecemasan digital berasaskan imbasan kod QR itu di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, hari ini.

Usaha perkukuh perlindungan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan dan keselamatan penunggang motosikal menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MYRider).

“MYRIDERID berfungsi sebagai identiti kecemasan digital yang menyimpan maklumat penting penunggang seperti kontak kecemasan dan maklumat kesihatan yang boleh diakses melalui imbasan kod QR ketika berlaku kemalangan atau kecemasan.
“Bertepatan dengan slogan “Maklumat Tepat, Nyawa Selamat”, MYRIDERID memanfaatkan teknologi kod QR bagi membolehkan maklumat penting penunggang diakses dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan sekali gus menyokong pengurusan kecemasan yang lebih cekap dan efektif.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan keselamatan jalan raya yang komprehensif, merangkumi aspek pencegahan, perlindungan, dan respons pasca kemalangan,” ujar PERKESO.

Keselamatan penunggang motosikal diperkasa, 1,000 pencarum terima MYRIDERID percuma

Penunggang motosikal antara pengguna paling berisiko

Jelas PERKESO, langkah itu diambil susulan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan penunggang motosikal terus menjadi antara pengguna jalan raya paling berisiko.

Golongan berkenaan merangkumi 65 peratus daripada 6,581 kes kematian keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun 2025.

Inovasi MYRIDERID dilihat mampu membantu menyelamatkan nyawa dengan memastikan maklumat penting penunggang dapat diakses pada saat kritikal, sekali gus memperkukuh usaha PERKESO dalam meneroka pendekatan inovatif terhadap perlindungan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam majlis sama, PERKESO turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dan MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.

Kolaborasi itu memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya bagi menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.

Program pelancaran turut dihadiri Ketua Bahagian Perubatan, Pencegahan dan Pemulihan PERKESO, Dr. Azlan Darus, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano, serta Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri B Ahmad.

Scroll to Top