49 warga asing ditahan di lombong bijih besi di Dungun

DUNGUN: Taktik penyamaran menggunakan kenderaan bukan milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memasuki kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi, di sini, kelmarin, berjaya memberkas 49 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Dalam operasi itu, pelbagai cara dilakukan warga asing berkenaan termasuk sanggup terjun dan menyelam dalam kolam lombong bijih bagi mengelak diberkas.

Malah, seorang lelaki warga Bangladesh disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) cedera selepas tergelincir dari cerun bukit sewaktu cuba melepaskan diri daripada serbuan berkenaan.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, warga asing berusia dalam lingkungan 30-an tersebut mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki. Dia yang segera diberi rawatan kecemasan berada dalam keadaan stabil sebelum ditahan.

 Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, lelaki Bangladesh terbabit antara 49 warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi di kawasan lombong bijih besi berkenaan.

“Mereka termasuk enam wanita dan dua kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 bulan hingga 66 tahun. Ia melibatkan 24 warga Bangladesh, Indonesia (17 orang), Myanmar (tujuh orang) dan seorang lelaki India,” katanya di sini.

Lokman Effendi berkata, taktik penyamaran menggunakan kenderaan bukan milik jabatan itu dilakukan bagi mengelak serbuan tersebut diketahui warga asing terbabit yang dipercayai bekerja di lombong bijih besi itu. 

“Jarak lombong berkenaan dengan jalan utama dianggarkan kira-kira dua kilometer,” katanya.

Lokman Effendi berkata, semua warga asing disyaki PATI terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN

 

Scroll to Top