SHAH ALAM: Menepati ramalan, Hussain dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian Big Stage Rocketfuel pada konsert akhir yang berlangsung malam ini.
Hussain atau Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, berjaya melunaskan cabaran dalam tiga pusingan berbeza, iaitu cabaran nyanyian pertama, battle dan lagu debut.
Pada pentas akhir, Hussain membawakan lagu Seniman Menangis nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah, Merisik Khabar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan lagu debutnya, Takkan Pernah.
Persembahan bertenaga Hussain berjaya meraih markah keseluruhan 80.97 peratus sekali gus menobatkannya sebagai juara.
“Terima kasih kepada peminat yang mengundi saya sejak Talk To My Manager hingga sekarang. Tidak lupa juga kepada keluarga, mak dan abah.
“Abah, Sain berjaya!
“Terima kasih kerana menyokong kami semua dan terima kasih kepada juri yang memberikan tunjuk ajar.
“Terima kasih Allah. Alhamdulillah,” katanya semasa ucapan kemenangan malam kemuncak Big Stage Rocketfuel, di sini, hari ini.
Kemenangan itu melayakkan Hussain membawa pulang hadiah berupa kontrak bernilai RM200,000, wang tunai RM30,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya serta pemasaran single bernilai RM100,000 dan trofi.
Tempat kedua menjadi milik duo Adam Nazmie dengan markah 61.55 peratus. Pasangan itu membawa pulang wang tunai RM20,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya serta pemasaran single bernilai RM50,000 dan trofi.
Satu-satunya finalis wanita, Ranisha pula menduduki tempat ketiga dengan markah 60.69 peratus, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya serta pemasaran single bernilai RM50,000 dan trofi.
Bagaimanapun, Danny meraih tempat keempat dengan markah 57.09 peratus dan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi.
Tempat kelima menjadi milik Yad-Z dengan markah 54.97 peratus, manakala Danial Kifli menduduki tempat keenam dengan markah 53.37 peratus.
Yad-Z membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala Danial Kifli menerima wang tunai RM3,000 serta trofi.
Konsert akhir program realiti itu diadili Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad, selain maestro tersohor, Datuk Ramli MS selaku juri jemputan.
Big Stage Rocketfuel dihoskan Nabil Ahmad dan Azeva. -UTUSAN
