PETALING JAYA: Hari Kemahiran dan I-Fest Kemas Wilayah Persekutuan 2026 menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya dengan mengetengahkan bakat dan kemahiran komuniti dalam pelbagai bidang.
Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memaklumkan, program yang mengetengahkan bakat dan kemahiran komuniti dalam pelbagai bidang itu menghimpunkan 270 peserta dari kesemua 13 kawasan Parlimen meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Hari Kemahiran dan I-Fest Kemas Wilayah Persekutuan 2026 merupakan platform bagi mengetengahkan keupayaan, kreativiti, bakat dan kemahiran komuniti Kemad khususnya peserta dari seluruh Wilayah Persekutuan.
“Program ini turut berperanan membuka peluang kepada peserta untuk mengembangkan potensi serta menjana peluang ekonomi, di samping memperkasa kemahiran tradisional dan digital,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kemas, antara yang dipertandingkan pada Hari Kemahiran ialah jahitan baju kurung tradisional, masakan merewang kenduri, solekan tradisional, seni tangan sirih junjung dan komputer.
Pada masa sama, Festival Kesenian Islam (I-Fest) disertai 120 peserta membabitkan lima kumpulan Marhaban Berzanji dan tiga kumpulan Kompang Formasi.
“Penyertaan ini menyerlahkan bakat dan kreativiti peserta, di samping mencerminkan semangat kebersamaan, kecintaan terhadap seni dan budaya Islam serta komitmen memperkukuh penghayatan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
“Program ini bukan sekadar medan pertandingan tetapi menjadi platform pembangunan komuniti melalui kemahiran, keyakinan diri, kreativiti, keusahawanan, pendigitalan dan peningkatan sosioekonomi,” katanya.
Program tersebut turut menyaksikan 30 peserta kelas kemahiran bimbingannya di Wilayah Persekutuan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 menerusi Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dalam bidang jahitan, masakan dan dandanan diri.
Pensijilan berkenaan memberi pengiktirafan rasmi terhadap pengalaman dan kemahiran yang telah dimiliki peserta serta berpotensi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan memperluaskan peluang ekonomi.
“SKM melalui PPT merupakan kaedah pensijilan kemahiran yang membolehkan seseorang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia berdasarkan pengalaman kerja serta kemahiran yang telah dimiliki, tanpa perlu mengikuti kursus secara sepenuh masa.
“Inisiatif ini diharap menjadi titik tolak kepada para peserta untuk terus meningkatkan tahap kemahiran, memperkukuh keyakinan diri, menggunakan kemahiran sebagai sumber pendapatan, mencipta peluang ekonomi dan berani melangkah ke tahap kemahiran yang lebih tinggi,” jelasnya.
Program yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kampung Sri Batu itu dirasmikan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man. – UTUSAN.
