Kuala Lumpur : Pelawak Sharif Zero tidak kisah mengeluarkan wang sendiri demi merealisasikan kejohanan pickleball selebriti, Celebrity Showdown, bersama rakan artis.
Sharif atau nama sebenar, Sharif Kadir Dol Sharif, berkata beliau bekerjasama dengan penyampai radio Hot FM, Johan bagi mengumpul lebih 60 rakan selebriti dalam acara berkenaan.
“Sebelum ini, saya menganjurkan acara badminton untuk rakan selebriti dengan penyertaan lebih 20 orang dan saya keluarkan hampir RM15,000.
“Itu duit saya bersama kawan yang juga suka menganjurkan acara. Kalau dana tidak ada, kami cari kawan-kawan yang sudi membantu.
“Kami tidak terus mendapatkan jenama besar kerana kalau perasan, tiada jenama besar yang terbabit.
“Semua kawan-kawan yang sokong dan sama-sama sertai sukan pickleball. Kali ini, kami keluarkan RM15,000 juga,” katanya pada sidang media Celebrity Showdown di sini, baru-baru ini.
Celebrity Showdown, iaitu kejohanan pickleball selebriti yang dianjur sempena Hari Malaysia bakal berlangsung di Tomaz Pickleball Club, Subang, pada 16 September depan.
Acara itu dianjurkan 88 House of Event bersama Everxon Sdn Bhd, selain diterajui Sharif dan Johan.
Mengulas kepuasan selepas sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menganjurkan acara berkenaan, Sharif berkata, matlamat utama mereka adalah untuk mengumpulkan rakan selebriti dalam suasana santai tanpa memikirkan soal kerja.
“Kepuasan saya adalah apabila dapat kumpulkan kawan-kawan. Saya juga dapat membuka mata orang bahawa tanpa tajaan pun kita boleh bergerak sendiri, walaupun terpaksa mengeluarkan dana terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, selepas itu penaja datang dan meringankan usaha kita,” katanya.
Sharif juga menyifatkan usahanya menganjurkan acara itu sebagai salah satu cara berkongsi rezeki.
Celebrity Showdown menghimpunkan rakan industri kreatif daripada pelbagai generasi dalam suasana pertandingan yang kompetitif, namun, kekal santai dan menghiburkan.
Antara selebriti yang bakal terbabit ialah Khairy Jamaluddin, Datuk AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Tomok, Ayie Floor 88, Harris Anuar, Luqman Hafidz dan Imran Aqil.
Mereka bakal membentuk lapan pasukan yang kemudian berentap bagi merebut gelaran juara Celebrity Showdown selain membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd
