Usaha membanteras rasuah serta memperkukuh integriti dalam sesebuah organisasi secara menyeluruh memerlukan kehendak politik yang kuat, khususnya daripada barisan kepimpinan tertinggi, kata bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Memetik laporan Berita Harian, menurut beliau, pemimpin di peringkat atasan perlu menjadi contoh selain menunjukkan ketegasan dalam menangani sebarang salah laku kerana proses transformasi organisasi hanya dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya wujud pendirian jelas dan tiada kompromi terhadap penyelewengan.
Beliau berkata usaha menerapkan pendidikan integriti kepada generasi muda sejak di bangku sekolah merupakan langkah yang baik, namun kesannya hanya dapat dilihat dalam tempoh panjang.
“Perubahan mesti dari atas, kalau pemimpin itu betul-betul ada political will untuk buat, insya-Allah yang bawah itu akan ikut,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Di Sebalik Lencana: Kisah dan Legasi Tan Sri Ayob Khan terbitan Bernama TV malam tadi.
Ayob Khan turut menegaskan bahawa sikap bertolak ansur atau cubaan melindungi kesalahan yang dilakukan pegawai dan anggota hanya akan membuka ruang kepada berlakunya lebih banyak salah laku.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira pangkat atau kedudukan kerana tiada mana-mana individu sepatutnya dianggap kebal daripada tindakan.
Dalam masa sama, beliau berpandangan isu berkaitan rasuah dan integriti tidak wajar dilabel sebagai ‘rahsia dalaman’ yang perlu ditutup daripada pengetahuan umum, sebaliknya masalah tersebut perlu diakui dan ditangani secara terbuka.
“Kalau kita tidak mengakui masalah yang ada dalam agensi kita, maknanya kita menuju kehancuran, kita bukan bergerak ke hadapan tetapi ke belakang. Begitu juga dalam keadaan negara kita, kalau kita tidak buat perubahan, kita akan ke belakang, negara lain bergerak depan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perkembangan lain, Ayob Khan mendedahkan bahawa beliau pernah menerima tawaran untuk terlibat dalam politik, namun belum memutuskan sama ada akan menerima tawaran berkenaan.
Beliau berkata antara perkara yang menjadi pertimbangannya ialah sejauh mana penglibatan dalam politik mampu memberinya ruang untuk membawa perubahan, berbanding sekadar mengikut arus serta arahan kepimpinan parti.
“Kalau saya terpaksa ikut arus, lebih baik saya tidak pergi politik. Alhamdulillah di mana saya berada, walaupun mungkin ada sikit kekangan, tapi saya masih boleh buat,” jelasnya.
Artikel lain: Ayob Khan titip pesan terakhir, jangan gadai maruah PDRM demi wang
Ayob Khan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023. Beliau bersara wajib pada 27 Julai lepas selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sepanjang lebih tiga dekad dalam pasukan itu, beliau pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas termasuk Bahagian Counter-Terrorism. Beliau turut pernah memegang jawatan Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Sumber: Berita Harian

