Tingkat literasi kewangan kepada generasi muda

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Balakong: Sekolah Kebangsaan (SK) Benoni, Sabah dinobatkan sebagai juara pertandingan teater pendek Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) peringkat kebangsaan yang julung kali dianjurkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kemenangan itu melayakkan pasukan sekolah berkenaan yang mempersembahkan teater bertajuk ‘RM1 untuk esok’ di bawah produksi The Stage membawa pulang hadiah wang tunai RM3,750 selain sijil penyertaan dan trofi.

SK Balik Pulau, Pulau Pinang pula merangkul tempat kedua dan membawa pulang RM3,000 serta sijil penyertaan manakala SK St Paul, Negeri Sembilan di tempat ketiga memenangi wang tunai RM2,250 juga sijil penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sebanyak 45 buah sekolah dari 13 negeri mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan yang dianjurkan dengan matlamat menyampaikan mesej berkaitan manfaat menabung selain literasi kewangan kepada generasi muda.

Katanya, persembahan teater dipilih sebagai elemen utama dalam pertandingan kerana melihatnya sebagai medium terbaik dalam menyampaikan mesej secara santai.

“Pertandingan itu terbuka kepada sekolah yang aktif dalam melaksanakan modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP) dan dianjurkan dengan tujuan melahirkan bakat baharu melalui persembahan seni kreatif.

“Kami melihat teater adalah salah satu cara untuk menyampaikan mesej secara bersahaja seterusnya menarik minat murid untuk menabung.

“Melihat apa dipentaskan hari ini, saya berpuas hati dengan persembahan murid terbabit yang datang dari jauh seperti Sabah dan Pulau Pinang malah kagum dengan bakat juga keberanian mereka menyanyi serta berlakon tanpa rasa segan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan itu di sebuah pusat beli-belah dekat sini.

Pertandingan bertemakan ‘Simpanan Sejuta Impian’ itu juga menyaksikan kejayaan SK Mulong 2, Kelantan merangkul tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan menerusi persembahan teater bertajuk ‘Simpanan Sebuah Kehidupan’.

Manakala, SK Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur yang memenangi tempat kelima dan membawa pulang wang tunai RM750 serta sijil penyertaan menerusi pementasan teater bertajuk ‘Mesin Masa RM1’.

Ahmad Dasuki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan penganjuran program berkenaan sebagai kesinambungan edisi pertama.

“Kalau dianjurkan lagi, akan lebih besar mungkin dengan penyertaan 100 buah sekolah.

“Diharap kita dapat meluaskan jalinan kerjasama melalui pembabitan lebih banyak sekolah,” katanya.

Berhubung Simpan SSPN, Ahmad Dasuki berharap ibu bapa tidak menangguhkan lagi hasrat untuk memulakan simpanan menerusi skim berkenaan yang memberi manfaat untuk jangka masa panjang.

“Mulakan segera langkah kerana kos sara hidup kini meningkat jadi simpanan awal dalam membantu ibu bapa merancang kewangan anak.

“Menerusi Simpan SSPN, banyak keistimewaan ditawarkan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas impanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit, geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top