am@hmetro.com.my
Melaka: Penduduk Semabok Perdana, Duyong, di sini, gempar selepas permukaan Kolam Tadahan Air Semabok Perdana berubah warna dengan lapisan biru kehijauan selain mengeluarkan bau kurang menyenangkan sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung perubahan luar biasa di kolam berkenaan yang turut berbuih berwarna biru, malam tadi.
Menurutnya, perkara itu kemudian dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kira-kira 8 pagi sebelum pasukan teknikal Badan Kawal Selia Air (BKSA) menjalankan pemeriksaan pada 10 pagi.
“Pasukan teknikal mengambil sampel air untuk dihantar ke makmal bagi mengenal pasti kandungan sebenar yang menyebabkan perubahan warna berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Menurutnya, siasatan tertumpu kepada sumber bahan itu.
“Sekiranya sumber tidak ditemukan pada laluan kemasukan air, terdapat kemungkinan bahan berkenaan dibuang secara terus ke dalam kolam kerana kawasan ini berhampiran jalan masuk,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Nor Hisham Othman, 43, berkata, dia hanya menyedari perubahan warna di kolam berkenaan sejak dua hingga tiga hari lalu.
“Saya selalu memancing di kawasan ini dan pada mulanya ingatkan air semakin jernih.
“Tetapi tidak sangka ia mengeluarkan bau busuk dan beberapa pelanggan juga mengadu perkara sama,” katanya.
Sementara itu Pengarah BKSA Melaka, Azizul Adzran Mahmor ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil sampel air dan keputusan lanjut akan diperolehi dalam tempoh lima hingga tujuh hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd

