Punyai potensi besar! KBS salur lebih RM1 juta, perkasa sukan angkat berat negara

Punyai potensi besar! KBS salur lebih RM1 juta, perkasa sukan angkat berat negara

Sukan angkat berat negara bakal menerima suntikan peruntukan tambahan lebih RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkukuh pembangunan sukan berkenaan, khususnya di peringkat akar umbi.

Persetujuan itu melibatkan beberapa bantuan

Menerusi kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan, keputusan itu susulan perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), selepas permohonan dana tambahan RM1 juta dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu.

Menurutnya, persetujuan tersebut melibatkan beberapa bentuk bantuan dan penambahbaikan termasuk menaik taraf Pusat Latihan Angkat Berat Rompin, Pahang untuk dicadangkan sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan.

Jurulatih sepenuh masa akan ditempatkan di pusat berkenaan

Selain itu, jurulatih sepenuh masa akan ditempatkan di pusat berkenaan dengan tumpuan turut diberikan kepada pembangunan atlet wanita, manakala kuota atlet angkat berat di bawah Program Pelapis MSN akan ditambah selepas temasya SUKMA Selangor 2026.

Antara langkah lain termasuk pelantikan pegawai strength & conditioning sepenuh masa, pembangunan sukan angkat berat di peringkat sekolah menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, penganjuran Kejohanan Bakat Angkat Berat serta pengukuhan pembangunan jurulatih dan pegawai teknikal.

Punyai potensi besar! KBS salur lebih RM1 juta, perkasa sukan angkat berat negara

Pencapaian bukti sukan berpotensi besar

Taufiq menambah, pencapaian skuad angkat berat negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuktikan potensi besar sukan berkenaan selepas menyumbang tujuh pingat, iaitu lima emas, satu perak dan satu gangsa kepada Kontinjen Negara.

“Pencapaian di Sukan Komanwel Glasgow 2026 telah membuktikan sukan angkat berat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan melakar kejayaan.
“Bantuan dan penambahbaikan ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian semasa, tetapi juga pelaburan jangka panjang bagi membina ekosistem sukan angkat berat yang lebih kukuh,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan KBS dan MSN akan terus bekerjasama rapat dengan PABM bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi serta mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

“KBS dan MSN kekal komited untuk memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara dan akan terus bekerjasama rapat dengan PABM bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi, yang akhirnya akan dapat mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Sumber: Facebook KBSMalaysia

Scroll to Top