KPDN KL tumpas sindiket seleweng minyak masak peket, rampasan RM165,000

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur membongkar sindiket penyelewengan minyak masak peket yang membotolkan semula barangan bersubsidi itu untuk dijual sebagai minyak sembahyang dalam empat serbuan di sekitar ibu negara hari ini.

Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 itu membongkar tiga kes saling berkait dan merampas sembilan tan minyak masak bernilai kira-kira RM165,000.

Beliau berkata, operasi hasil risikan dan pemprofilan bekalan selama dua bulan itu melibatkan empat premis di Sentul dan Chow Kit, masing-masing dua premis pemborong berlesen dan dua premis tidak berlesen.

“Taktik sindiket ini adalah membeli minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) daripada pembungkus dan pemborong sebelum peket berkenaan dipotong secara manual untuk dibotolkan semula,” katanya ketika ditemui di sebuah lokasi serbuan di sini.

Mohd Shahran berkata, minyak berkenaan kemudian dibotolkan dalam saiz satu, dua, lima hingga 15 kg dan dijual sebagai minyak sembahyang, sama ada tanpa campuran bahan lain atau dengan sedikit bahan tambahan bagi pasaran peruncit di Lembah Klang.

Beliau berkata, sindiket membeli minyak bersubsidi pada harga RM2.45 seliter sebelum menjualnya semula pada harga sekitar RM7.50 seliter.

“Bagi satu premis sahaja, dianggarkan sebanyak 200 botol atau hampir satu tan minyak masak bersubsidi diproses sehari. Premis terbabit dipercayai telah beroperasi secara haram sejak enam bulan lepas,” katanya.

Mohd Shahran berkata, lima individu berumur antara 30 dan 35 tahun turut ditahan, terdiri daripada tiga warga India, seorang warga Sri Lanka dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu van.

“Dalang utama kegiatan ini disyaki merupakan pemborong berlesen yang menguruskan rantaian bekalan dan pengedaran ke semua premis terbabit dan masih dikesan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan label tidak berdaftar.

Katanya, KPDN akan mengesyorkan pembatalan lesen pemborong terbabit sekiranya siasatan mengesahkan penglibatannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top