JOHOR BAHRU – Satu jawatankuasa khas bagi memantau isu komuniti pelarian Rohingya di Johor ditubuhkan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, berkata jawatankuasa itu memfokuskan isu-isu melibatkan ketenteraman awam, pematuhan undang-undang dan kebimbangan penduduk setempat.
Menurutnya, ia juga berperanan sebagai saluran suara rakyat serta badan pemantau yang mendesak kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan memperkemas pengurusan penempatan, dokumentasi, aktiviti ekonomi dan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti pelarian.
“Penubuhan jawatankuasa ini penting bagi memastikan sebarang aduan atau masalah yang timbul dapat dikumpulkan, disemak dan dibawa kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
“Amanah Johor tidak mahu isu ini terus dibiarkan tanpa pemantauan sehingga menimbulkan ketegangan antara komuniti dan masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Aminolhuda turut mencadangkan supaya kerajaan mempunyai mekanisme penempatan dan pemantauan yang lebih tersusun, termasuk kerjasama antara agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan Persekutuan.
Katanya, sebarang kesalahan perlu diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa mengira status atau latar belakang individu.
“Jawatankuasa ini juga akan membuka ruang kepada rakyat Johor untuk menyampaikan aduan, maklumat dan cadangan berkaitan isu pelarian secara bertanggungjawab supaya isu-isu yang memerlukan tindakan sewajarnya dapat disalurkan kepada pihak berkuasa, bukannya disebarkan melalui dakwaan tidak berasas yang boleh mencetuskan kebencian,” ulasnya.
Beliau berkata, pendirian itu adalah demi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Johor terus terpelihara.
“Pengurusan pelarian juga perlu dilaksanakan secara tegas, teratur dan berperikemanusiaan serta melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” ulasnya.
Terdahulu, pada Isnin, Pengarah Komunikasi Amanah Johor, Mohd Faizul Salleh, menggesa kerajaan agar serius dan tegas menangani isu pelarian etnik Rohingya di Johor yang menimbulkan masalah dan melanggar undang-undang.
Mohd Faizul dilaporkan berkata, antara isu yang perlu ditangani melibatkan aspek pengurusan penempatan, keselamatan, kebajikan dan keharmonian sosial.