Laluan sepanjang 59KM di sekitar ibu negara akan diturap, diselenggara secara berperingkat – Hannah Yeoh

Laluan sepanjang 59KM di sekitar ibu negara akan diturap, diselenggara secara berperingkat – Hannah Yeoh

Laluan sepanjang 59 kilometer (km) jalan protokol dan laluan utama di sekitar ibu negara akan menjalani kerja pengisaran, penurapan secara berperingkat dalam usaha meningkatkan ketahanan turapan sehingga 50 peratus.

Laluan sepanjang 59KM di sekitar ibu negara akan diturap, diselenggara secara berperingkat – Hannah Yeoh

Memetik laporan Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja mampu memanjangkan jangka hayat permukaan jalan berbanding kaedah tampalan biasa, malah dijangka dapat menjimatkan sehingga 40 peratus kos penyelenggaraan.

“Kali ini (kerja penurapan jalan) menelan perbelanjaan besar tetapi kami mahu pastikan perbelanjaan ini berbaloi.
“Disebabkan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan memantau aduan berkaitan jalan berlubang bagi memastikan segala perbelanjaan ini tidak membazir,” katanya selepas melakukan tinjauan di lokasi turapan berhampiran Lebuhraya Sultan Iskandar, malam tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Menurut Hannah, meskipun DBKL mempunyai peruntukan untuk kerja penyelenggaraan, tekanan terhadap rangkaian jalan raya di ibu negara amat tinggi susulan jumlah kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur setiap hari.

“Kita anggarkan kira-kira tiga juta kenderaan masuk ke Kuala Lumpur setiap hari. Ini bermaksud jalan-jalan tidak mampu bertahan kerana penggunaan itu amat tinggi.
“Jadi, pelaksanaan baik pulih jalan ini adalah penting bagi pemuliharaan jalan bagi jangka masa panjang dengan kerja-kerja penyelenggaraan berjalan selama 24 minggu.
“Pihak kontraktor akan memulakan kerja pada jam 10 malam hingga 5 pagi supaya tidak mengganggu trafik pada waktu puncak. Orang ramai diharap bersabar sepanjang tempoh itu,” katanya.

Foto: Janaan AI

Sementara itu, Fadlun berkata, DBKL memperuntukkan lebih RM100 juta untuk kerja penurapan di lapan laluan protokol di Kuala Lumpur, yang kali ini dilaksanakan secara lebih menyeluruh berbanding kerja penyelenggaraan sebelum ini.

“Turapan lapan jalan ini memfokuskan kepada laluan utama yang menjadi nadi pergerakan warga kota, pengguna harian serta kenderaan dari dalam dan luar Kuala Lumpur. Ia dibahagikan kepada dua fasa.
“Fasa Pertama membabitkan lima laluan dan mula dilaksanakan secara berperingkat pada bulan ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.64 juta dan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu,” ujarnya.

Hannah berkata, lima laluan yang termasuk dalam fasa pertama ialah Lebuhraya Sultan Iskandar-Jalan Damansara-Jalan Istana; Bulatan Syed Putra-Mid Valley Megamall serta Jalan Sultan Ismail (susur Jalan Kuching-Jalan Imbi) dan Jalan Ampang (susur Intermark-Jalan Raja Chulan).

“Dua lagi laluan adalah susur masuk Lebuhraya berhadapan Lapangan Terbang Lama (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 1) sehingga susur masuk Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) dan susur masuk Lebuhraya SPE-pintu gerbang (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 2).
“Fasa kedua pula membabitkan tiga laluan iaitu Bulatan Batu Caves-simpang Jalan Sultan Sulaiman (Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu); Bulatan Kampung Pandan-Menara PJD (Jalan Tun Razak) dan pintu gerbang sempadan Kuala Lumpur-Selangor (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 3).
“Kerja-kerja penurapan fasa kedua membabitkan 15 kilometer akan bermula pada September ini dengan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu 15 km jalan dengan kos sebanyak RM43 juta,” jelasnya.

Artikel lain: Siapa pun menteri, pusaka penduduk Kampung Baru mesti terus dilindungi -Hannah Yeoh

Hannah berkata, projek berkenaan penting bagi memastikan keseluruhan sistem rangkaian jalan raya di Kuala Lumpur berada pada tahap baik dan lebih selamat untuk digunakan warga kota.

“Selain kerja pengisaran dan penurapan di laluan-laluan itu, kami juga akan meneruskan kerja penyelenggaraan bagi jalan lain di Kuala Lumpur membabitkan 2,000 km jalan dengan kos lebih RM100 juta yang ditetapkan untuk bajet tahun ini.
“Saya rasa banyak jalan di Kuala Lumpur ketika ini berlubang. Jadi, kami rasa lebih baik pengisaran dan penurapan kerana kaedah itu lebih tahan lama berbanding tampalan biasa,” tambahnya lagi.

Sumber: Berita Harian (Nurul Hidayah Bahaudin)

Scroll to Top