Seorang lelaki yang dikaitkan dengan insiden penangkapan anjing bernama Rocky dijangka didakwa di mahkamah hari ini, manakala seorang wanita yang turut mempunyai kaitan dengan kejadian itu bakal berdepan pertuduhan tambahan di dua mahkamah berasingan.
Foto: Kosmo
Kedua-duanya dijangka dihadapkan ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji. Dalam masa sama, wanita berkenaan turut akan menghadapi pertuduhan tambahan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, butiran mengenai seksyen dan akta yang bakal digunakan bagi pertuduhan tersebut masih belum disahkan setakat ini.
Rocky dilaporkan mati ketika operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Taman Teluk Gedong Indah, Pelabuhan Klang, bulan lalu.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, menasihatkan orang ramai agar tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau demonstrasi berkaitan kematian Rocky.
Pada Isnin lalu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan bahawa anak guam mereka, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, telah menerima saman daripada pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi hari ini.
Minggu lalu, Shah menafikan dakwaan bahawa beliau mendera atau membunuh Rocky ketika operasi penguatkuasaan di Taman Teluk Gedong Indah pada 29 Julai lalu.
Menurutnya, dakwaan tersebut timbul selepas satu video tular yang mendakwa beliau menyeksa dan membunuh anjing berkenaan. Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai sesuatu yang amat menekan dirinya, selain menegaskan kehadirannya di lokasi kejadian adalah bagi melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya.
Shah turut mendakwa dirinya berdepan tekanan melampau susulan insiden itu, termasuk menerima kecaman hebat serta ugutan bunuh selepas kematian Rocky.
Foto: Berita Harian
Sebelum ini, Rafique menjelaskan bahawa Shah berada di lokasi sebagai wakil komuniti selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Sama Gagah di Taman Teluk Gedong Indah untuk membantu operasi rasmi bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Sementara itu, pemilik Rocky mendakwa beliau hanya mengetahui keadaan anjing berkenaan selepas pulang ke rumah pada hari kejadian sebelum mendapati Rocky diikat dengan jerat pada bahagian leher.
Beliau mendakwa sudah beberapa kali meminta individu yang berada di lokasi supaya melepaskan jerat tersebut dan menawarkan untuk membawa Rocky pulang. Bagaimanapun, rayuan berkenaan didakwa tidak diendahkan.
Pada 2 Ogos lalu, Jabatan Veterinar membuat laporan polis serta mengambil keterangan daripada beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penderaan terhadap Rocky yang dirakam dan disebarkan menerusi video.
Artikel lain: Kes Rocky: “Ini bukan isu perkauman..”- Shah tak jangka akan didakwa, belum tahu jenis pertuduhan
Menurut jabatan berkenaan, laporan itu dibuat oleh Pasukan Kebajikan Haiwan selepas menerima bangkai seekor anjing jantan yang dipercayai Rocky.
Tindakan tersebut dibuat susulan penularan video yang memaparkan beberapa individu mengikat dan menarik anjing berkenaan menggunakan tali pada lehernya, manakala seorang wanita dilihat merayu supaya haiwan itu dilepaskan.
Sumber: Berita Harian (Dawn Chan)
