Amaran ribut petir di Sarawak, Sabah, Labuan sehingga 11 pagi

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah serta Labuan sehingga 11 pagi ini.

Menurut amaran yang dikeluarkan pada 8.50 pagi, kawasan yang dijangka terjejas di Sarawak meliputi Betong (Saratok), Sarikei, Mukah (Daro, Matu, Mukah dan Dalat), Miri (Beluru dan Marudi), Limbang, Kapit (Belaga) dan Bintulu (Tatau).

Di Sabah pula, cuaca itu dijangka melanda bahagian pedalaman membabitkan Kuala Penyu, Beaufort dan Membakut serta pantai barat yang merangkumi Papar, Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.

Selain itu, amaran cuaca yang sama turut dikeluarkan bagi seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.

Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan merujuk laman web serta media sosial rasmi jabatan berkenaan untuk maklumat terkini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top