Lisbon: Presiden Portugal meluluskan undang-undang yang dicadangkan parti berhaluan kanan melampau bagi melarang perbuatan menutup muka di tempat awam dalam langkah yang dilihat secara meluas sebagai menyasarkan wanita Islam yang memakai niqab atau burka.
“Muka mesti dianggap sebagai elemen teras identiti dan komunikasi manusia,” kata Presiden Antonio Jose Seguro dalam kenyataan pada 18 Ogos lalu.
Versi akhir undang-undang itu yang digelar media tempatan sebagai “undang-undang burka” merujuk kepada pakaian yang dipakai sesetengah wanita Islam untuk menutup tubuh dan muka diluluskan Parlimen pada Julai lalu.
Undang-undang berkenaan mendapat sokongan daripada gabungan pemerintah berhaluan kanan dan parti kanan melampau manakala parti berhaluan kiri menentangnya.
Ia melarang pemakaian pakaian yang direka untuk menutup muka sehingga menghalang pengenalan diri di tempat awam, selain melarang perbuatan memaksa seseorang menutup muka atas faktor jantina, agama, umur atau asal usul.
Pejuang hak asasi manusia sejak sekian lama mendakwa sekatan sedemikian boleh menghakis hak wanita dengan menentukan jenis pakaian yang boleh mereka pakai.
Seguro mengakui isu berkenaan mempunyai “sensitiviti sosial dan budaya yang tinggi”.
Di Portugal, individu yang melanggar undang-undang itu boleh dikenakan denda antara 150 Euro (kira-kira RM705) hingga 3,000 Euro (kira-kira RM14,000).
Bagaimanapun, pengecualian diberikan atas faktor kesihatan, profesional, artistik atau keperluan berkaitan cuaca, selain ketika berada di rumah ibadat, misi diplomatik dan dalam pesawat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
