LBS kekalkan disiplin kewangan, selaras strategi hadapi cabaran pasaran

SHAH ALAM – LBS Bina Group Berhad (LBS) terus mencatat keuntungan dan peningkatan hasil bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Q2FY2026) dengan pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama hasil Kumpulan.LBS merekodkan hasil RM340.5 juta bagi suku berkenaan, meningkat 9.9 peratus berbanding RM309.8 juta pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) berjumlah RM15.1 juta.Segmen pembangunan hartanah menyumbang hasil RM293.1 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM30.4 juta sepanjang suku tersebut, didorong sumbangan daripada beberapa projek pembangunan yang telah siap atau menghampiri peringkat penyiapan.Dalam pada itu, hasil segmen pembinaan dan perdagangan meningkat 439.4 peratus kepada RM41.3 juta berbanding RM7.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya, susulan sumbangan lebih tinggi daripada subsidiari asing.Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), LBS merekodkan hasil RM637 juta dan PATMI RM32.1 juta dengan sumbangan daripada kemajuan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth di Selangor dan Centrum Iris, Cameron Highlands.Kumpulan turut mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan deposit, tunai dan baki bank berjumlah RM591.2 juta setakat 30 Jun 2026.Aset bersih sesaham berada pada RM1.10, manakala nisbah gearing bersih kekal sekitar 0.35 kali, sekali gus memberikan fleksibiliti kewangan kepada Kumpulan untuk menyokong perancangan pembangunan sedia ada serta merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan.Pada Julai lalu, LBS menyempurnakan terbitan ketiga Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN bernilai RM150 juta dalam nilai nominal di bawah Program Sukuk Wakalah RM750 juta.Terbitan bertempoh tujuh tahun itu dijangka memperkukuh kapasiti pembiayaan dan fleksibiliti kewangan Kumpulan bagi menyokong operasi perniagaan, inisiatif pembangunan lestari serta pembangunan terancang.Setakat 19 Ogos 2026, Kumpulan memiliki simpanan tanah seluas 3,899 ekar yang menyokong perancangan pembangunan jangka panjangnya. Jualan belum dibil LBS pula berjumlah RM1.06 bilion setakat 31 Julai 2026, sekali gus menyediakan keterlihatan hasil bagi tahun-tahun mendatang.Sementara itu, persediaan pembangunan LBS di Kwasa Damansara berjalan lancar seperti dirancang dan apabila dilancarkan kelak, projek berkenaan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan jangka panjang serta memperkukuh perancangan pembangunan dan jualan masa hadapan.Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen tunggal interim pertama sebanyak 0.85 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, yang akan dibayar pada 19 November 2026.Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, keadaan pasaran terus dipengaruhi perkembangan geopolitik dan tekanan kos, manakala pembeli rumah mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pembelian.”Justeru, kami melaraskan pelancaran projek seiring dengan permintaan pasaran serta menilai setiap projek berdasarkan kesesuaian produk, harga dan masa.”Kami kekal berdisiplin dalam perancangan pelancaran dan tidak akan membawa projek ke pasaran semata-mata untuk memenuhi garis masa yang ditetapkan,” katanya.Menurut beliau, walaupun sumbangan keuntungan berada pada tahap sederhana bagi tempoh berkenaan, Kumpulan kekal mencatat keuntungan dan mempunyai daya tahan kewangan.”Disokong rangkaian jualan sedia ada, lembaran kewangan yang kukuh serta fleksibiliti kewangan, kami kekal fokus melaksanakan perancangan pembangunan secara berhemah sambil memposisikan LBS untuk pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.

Scroll to Top