Pempengaruh Pakistan mati ditembak

Islamabad: Seorang pempengaruh TikTok wanita warga Pakistan berusia 28 tahun yang mempunyai lebih 1.3 juta pengikut maut ditembak dua lelaki bermotosikal di Taxila, pada 14 Ogos lalu, lapor NDTV World

Mangsa, Shamso Bibi yang dikenali di media sosial sebagai Ayesha Gilamana dibunuh pada Hari Kemerdekaan Pakistan, dipercayai selepas menerima ugutan bunuh susulan pertikaian kewangan.

Abang mangsa, Niamatullah, merayu Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz Sharif supaya campur tangan dalam kes berkenaan.

Polis sudah menahan sekurang-kurangnya empat suspek termasuk dua lelaki yang didakwa membantu suspek utama melarikan diri, menurut laporan ARY News pada Isnin lalu.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa mangsa, Fazal Sahibzada, anaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dikenali sebagai Kashif yang memintanya keluar dari rumah di Taxila.

Bibi kemudian keluar bersama adik lelaki dan perempuannya dengan menaiki sebuah kereta.

Ketika menghampiri kawasan pasar, dua lelaki bermotosikal memintas kenderaan mereka lalu melepaskan tembakan.

Polis memaklumkan peluru mengenai leher Bibi dan mangsa meninggal dunia akibat parah.

Klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal menghentikan kereta berkenaan, sebelum salah seorang mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Tembakan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebuah lori pengangkut, manakala adik perempuan Bibi dilaporkan parah dalam kemalangan berkenaan.

Dalam aduannya, Sahibzada berkata, anaknya aktif menghasilkan kandungan TikTok sejak tiga hingga empat tahun lalu dan berjaya mengumpul ramai pengikut.

Keluarga mangsa kini memadamkan akaun TikTok milik Bibi, manakala saluran YouTubenya turut tidak lagi boleh diakses.

Sahibzada mendakwa anaknya menerima ugutan daripada dua lelaki yang menuntut pembayaran balik wang dan dia mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai salah seorang daripada mereka bertanggungjawab atas pembunuhan anaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top