MARA perluas laluan pendidikan Teknokrat Huffaz ke antarabangsa

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus membuka laluan pendidikan lebih luas kepada anak muda Bumiputera termasuk generasi huffaz untuk menguasai ilmu agama, bidang profesional dan teknologi masa hadapan hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendidikan yang dibangunkan MARA bukan sekadar melahirkan pelajar berprestasi tinggi, sebaliknya membentuk generasi yang memiliki keseimbangan antara ilmu, kemahiran, akhlak dan jati diri.

Menurutnya, aspirasi itu dizahirkan menerusi inisiatif Teknokrat Huffaz yang mengintegrasikan kecemerlangan al-Quran, akademik dan profesional dalam membentuk pelajar yang holistik, kompeten serta berintegriti.

“Sejak 2025, seramai 501 pelajar mengikuti inisiatif Teknokrat Huffaz termasuk 236 pelajar baharu, manakala 184 pelajar sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Hasrat kita bukan sekadar melahirkan huffaz yang menguasai hafazan atau profesional yang menguasai kepakaran, kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai al-Quran di hati, ilmu di fikiran dan kemahiran di tangan,” katanya dalam ucapan di Majlis Graduasi Perdana Kolej MARA Tahun 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, MARA dalam masa sama, terus memperluas laluan pendidikan antarabangsa bagi memberi peluang kepada pelajar mendapat pendedahan kepada ekosistem ilmu dan teknologi global.

Katanya, mulai 2026, MARA menyediakan penempatan alternatif kepada pelajar International Baccalaureate (IB) dan A-Level di universiti terpilih di Turkiye, China dan Austria dalam bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, semikonduktor dan aeroangkasa.

Menurutnya, pelajar terbabit turut diberikan persediaan bahasa dan budaya sebelum melanjutkan pengajian pada 2027 bagi memastikan mereka lebih bersedia mengikuti pengajian di peringkat antarabangsa.

“Pembukaan laluan itu mencerminkan usaha MARA memastikan anak muda Bumiputera tidak hanya menjadi pengguna ilmu dan teknologi tetapi turut berupaya menguasai, mencipta dan memimpin dalam bidang strategik di peringkat global.

“Justeru, saya melihat MARA sebagai jambatan, di satu sisi, kita mempunyai anak-anak muda yang mempunyai potensi, semangat dan impian, manakala di satu sisi lagi terbentang dunia yang luas dengan universiti terbaik, teknologi terkini dan peluang yang tidak terbatas,” katanya.

MARA mempunyai ekosistem pendidikan yang menjadi laluan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara, termasuk melalui program International Baccalaureate, A-Level, Matrikulasi, Asasi dan Pra-USM.

Sehingga 31 Julai lalu, Kolej MARA merekodkan 1,497 graduan bagi tahun 2026 dan 56,654 graduan sejak 1994.

Kejayaan pelajar Kolej MARA di peringkat antarabangsa turut terserlah apabila tujuh pelajar A-Level Kolej MARA Seremban menerima tawaran ke Imperial College London dalam bidang Medical Biosciences, Geology, Earth and Planetary Science serta Electrical & Electronic Engineering.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top