Arif-Roy King hampir cipta kejutan sebelum tunduk di tangan Rankireddy-Shetty

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King hampir melakar kejutan sebelum terpaksa akur kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 23-21, 19-21, 21-17 pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Indra Gandhi Indoor Stadium, hari ini.

Pertarungan mendebarkan selama 82 minit itu menyaksikan Arif-Roy King terlebih dahulu mencuri set pertama 23-21, namun pasangan India bangkit mengheret aksi ke set penentuan selepas menguasai set kedua 21-19.

Set ketiga berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling berbalas serangan dan mengejar mata sebelum kedudukan terikat 8-8.

Namun, pengalaman nyata memihak kepada Satwiksairaj-Chirag yang pernah menghuni ranking nombor satu dunia apabila pasangan India itu mula mengawal permainan pada penghujung aksi untuk menoktahkan kemenangan 21-17.

Kekalahan itu menyaksikan Arif-Roy King masih gagal memecahkan rekod pertemuan menentang pasangan India berkenaan yang kini unggul 5-0.

Lebih manis buat Satwiksairaj-Chirag, kemenangan itu meneruskan pemburuan mereka selepas meraih gangsa pada Kejohanan Dunia tahun lalu.

Sementara itu, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir tanpa perlu beraksi selepas pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri sebelum perlawanan pusingan ketiga berlangsung.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mengesahkan Kai Wun terpaksa membuat keputusan itu selepas mengalami masalah cirit-birit, hari ini.

Kemenangan percuma itu memastikan Aaron-Wooi Yik meneruskan misi memburu satu lagi pingat Kejohanan Dunia, dengan mereka kini akan membuat perhitungan dengan beregu di rankign keempat dunia, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di suku akhir.

Kemaraan Aaron-Wooi Yik itu menyaksikan Malaysia kini mempunyai dua wakil dalam saingan suku akhir apabila beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top