HONG Leong Bank (HLB) bekerjasama dengan HLB Islamic serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menganjurkan ‘Northern Region Investment Seminar 2026’ di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
HLB dalam satu kenyataan berkata, seminar berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha strategik untuk berinteraksi secara langsung dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemilik perniagaan.
Menurutnya, ia dilakukan menerusi khidmat nasihat secara praktikal dan penyelesaian kewangan bersasar sebagai rakan perniagaan yang memberikan nilai tambah, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.
“Ini susulan Pulau Pinang menyumbang 38.1 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun lalu.
” Ia sekali gus menjadi negeri pengeksport utama Malaysia, selain menarik pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai RM4.9 bilion pada suku pertama 2026.
“Dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2026, keadaan ini meletakkan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) pada kedudukan strategik untuk memacu momentum ekonomi domestik,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Seminar berkenaan dirasmikan oleh Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic, Dafinah Ahmed Hilmi memberitahu, HLB komited untuk menjadi rakan perniagaan yang tulen dan memberikan nilai tambah kepada pelanggannya.
Jelasnya, ia termasuk dengan mendekati usahawan dan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan ekosistem perniagaan mereka.
“Kami mahu memastikan perniagaan, khususnya PKS yang sedang berkembang mempunyai akses terus kepada pandangan, modal dan bimbingan yang diperlukan untuk menukar potensi serantau kepada pertumbuhan yang mampan, terutama ketika berdepan ketegangan geopolitik.
“Sokongan kepada pelanggan perniagaan dalam menghadapi perubahan ekonomi memerlukan tumpuan kepada empat trend struktur utama.
“Empat trend tersebut adalah menyokong integrasi kecerdasan buatan (AI), mengguna pakai rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memenuhi piawaian rantaian bekalan global, memanfaatkan hubungan serantau ASEAN serta menggunakan pembiayaan berasaskan matlamat untuk membuka peluang dalam ekonomi halal global yang berkembang pesat.
“Selain itu, selaras dengan hasrat HLB untuk menjadi rakan strategik dalam pertumbuhan perniagaan, seminar itu disusun bagi melengkapkan PKS dengan panduan dan kaedah praktikal untuk menghadapi serta berkembang dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi makro,” ujarnya.
