4 pekerja pembersihan maut dirempuh kereta api ekspres

Tokyo: Empat pekerja maut selepas dirempuh kereta api ekspres di sebuah stesen di wilayah Tochigi, utara Tokyo, semalam.

Kejadian berlaku pada 10.45 pagi di Stesen Shin-Kanuma, laluan Tobu Nikko ketika empat lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an itu sedang menjalankan kerja pembersihan rumput di atas landasan.

Menurut polis dan pengendali kereta api, tiada krew atau penumpang dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

Memetik South China Morning Post, polis memaklumkan, ketika kejadian terdapat tujuh pekerja terbabit dalam kerja pembersihan termasuk empat mangsa yang maut.

Tiga lagi pekerja terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Tobu Railway, kereta api yang menuju ke Asakusa, Tokyo itu dijadualkan berhenti di Stesen Shin-Kanuma dan sedang menghampiri platform ketika kemalangan berlaku.

Pengendali berkenaan berkata, terdapat kira-kira 50 penumpang di dalam kereta api itu.

Susulan kemalangan itu, perkhidmatan kereta api di sebahagian laluan Tobu Nikko digantung.

Mengikut prosedur operasi pengendali, pengawal keselamatan yang dilantik diwajibkan melakukan pemeriksaan secara visual bagi mengesan kereta api yang menghampiri serta memastikan pekerja beredar dari landasan.

Selepas memastikan semua pekerja keluar dari landasan, pengawal keselamatan akan memberi isyarat bendera kepada pemandu kereta api, manakala pemandu pula dikehendaki mengakui isyarat berkenaan dengan membunyikan hon.

Dalam sidang media, pegawai syarikat berkata, pemandu kereta api membunyikan hon selepas melihat isyarat bendera daripada pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, Tobu Railway masih belum dapat mengesahkan sama ada pengawal berkenaan sudah memberi amaran kepada semua pekerja untuk beredar dari landasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top