Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan Jemaah Nazir, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menyelesaikan siasatan dalaman dengan segera berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata, semua perkara yang menjadi kebimbangan awam termasuk dakwaan berkaitan buli dan unsur perkauman perlu ditangani secara serius berdasarkan fakta serta proses yang sewajarnya.
“Ingatan dan simpati saya terus bersama keluarga dan warga sekolah rentetan pemergian anakanda kita, pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Hari ini (semalam), saya telah mengarahkan Jemaah Nazir, PPD dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyelesaikan siasatan dalaman dengan segera.
“Segala perkara yang menjadi kebimbangan awam termasuk berkaitan buli dan unsur perkauman mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera berasaskan fakta serta proses yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Foto arkib: FB Fadhlina Sidek
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memberi kerjasama penuh kepada pihak polis serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perkara berkenaan ditangani secara menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau berkata, perhatian dan sokongan sewajarnya diberikan kepada keluarga, murid, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan susulan kejadian berkenaan.
“Pihak keluarga telah diberikan sokongan psikososial oleh pasukan kaunselor KPM manakala guru-guru diberikan penerangan berkaitan proses siasatan dan perundangan yang sedang berlangsung, di samping memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus diberikan perhatian.
“Smart Support Team KPM turut digerakkan bagi memberikan sokongan psikososial dan intervensi krisis kepada murid-murid yang terkesan agar kebajikan dan kesejahteraan emosi mereka terpelihara,” ujarnya.
Menurut Fadhlina, keutamaan KPM adalah memastikan keadilan kepada semua pihak selain mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan persekitaran pendidikan kekal selamat serta bebas daripada sebarang bentuk salah laku buli dan diskriminasi.
Foto: Media sosial
Terdahulu, media melaporkan kematian Keziah Nisha, pelajar berusia 14 tahun yang bersekolah di Kuala Lumpur mencetuskan kebimbangan awam berhubung dakwaan kemungkinan berlaku buli verbal termasuk unsur perkauman.
Perkara itu bagaimanapun masih menunggu hasil siasatan lanjut.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

