PUTRAJAYA – Malaysia akan memberi perhatian serius dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk mengambil bahagian dalam tender pembinaan projek penempatan E1 oleh Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu susulan keputusan rejim Israel membuka tender pembinaan projek penempatan berkenaan yang disifatkan mengancam kelangsungan sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju dan bersambung.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Israel untuk membuka tender pembinaan bagi projek penempatan E1,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial pada Jumaat.
Menurut Anwar, kawasan tanah di sebelah timur Baitulmaqdis itu sejak sekian lama penting bagi memastikan kelangsungan sebuah negara Palestin.
“Pembinaan di kawasan tersebut akan memisahkan Tebing Barat dan menjejaskan dengan serius peluang untuk mewujudkan sebuah tanah air Palestin yang bersambung,” katanya.
Beliau berkata, penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, namun Israel terus bertindak tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.
“Keputusan ini dibuat ketika keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, selain genosid yang berterusan di Gaza.
“Ia menunjukkan bahawa rejim Israel telah meninggalkan malah kepura-puraan untuk mencari keamanan atau menghormati kehendak masyarakat antarabangsa,” jelas beliau.
Tegas Anwar, Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk mempunyai sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, bersambung dan merdeka.
Pada 18 Ogos lalu, Israel membuka tender bagi pembinaan 1,234 unit kediaman di kawasan E1, sebahagian daripada rancangan keseluruhan yang melibatkan 3,401 unit.
Kawasan E1 meliputi kira-kira 12 kilometer persegi di sebelah timur Baitulmaqdis dan terletak antara Baitulmaqdis Timur dengan penempatan Maale Adumim.
Pelaksanaan projek itu dikhuatiri memutuskan kesinambungan wilayah Tebing Barat dengan mengasingkan bahagian utara dan selatan, selain menjejaskan Baitulmaqdis Timur daripada kawasan Palestin di sekitarnya.